Tonggak Terengganu FC, Andrew Lee Tuck mengakui dia lagi gembira pasukannya berjumpa Johor Darul Takzim berbanding Pahang di separuh akhir Piala Malaysia.

Ini kerana menurutnya tekanan yang dihadapi oleh JDT yang turun selaku juara bertahan adalah lebih tinggi berbanding Pahang dan ini secara tidak langsung boleh memberi kelebihan kepada Terengganu untuk cuba melakar kejutan.

“Ia akan menjadi satu pertembungan yang menarik kerana mereka adalah pasukan pilihan. Kedua-dua pasukan ada tekanan tetapi sudah tentu tekanan mereka lagi tinggi kerana mereka adalah juara dan mahu mempertahankan piala.

“Sebab itu saya lebih gembira jumpa JDT dan kita perlu memanfaatkannya sebaik mungkin terutama ketika bermain di gelanggang sendiri,” kata Tuck yang merupakan penjaring terbanyak Terengganu dalam kempen Piala Malaysia dengan tujuh gol.

Tambah pemain kelahiran England itu, “Sebagai satu pasukan, saya semakin yakin dan percaya ia akan menjadi perlawanan yang sangat istimewa, malah saya jangka kedua-dua pasukan akan memberikan aksi terbaik untuk melangkah ke final.”

Tuck menjadi inspirasi kebangkitan sang penyu ketika mengetepikan Felda United di suku akhir kedua Piala Malaysia pada Jumaat lalu. Terengganu pada satu ketika ketinggalan 0-2 dan gol pertama jaringannya membantu skuad bimbingan Irfan Bakti untuk bangkit melakar kemenangan 4-3 dan mara dengan agregat 6-4.

Ini juga merupakan kali pertama Terengganu layak ke separuh akhir selepas tujuh tahun.

Sebagai rekod dalam dua pertemuan Liga Super antara JDT dan Terengganu musim ini, JDT menang 1-0 di Kuala Terengganu dan 2-0 di Larkin.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -