Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan liga Malaysia berkemungkinan akan disambung pada November depan.

Jelasnya ketika di sidang media harian PKP di Putrajaya, permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memulakan liga Mpada Jun tidak diluluskan kerana prosedur atau SOP yang perlu dipatuhi terutama penjarakkan sosial meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

“Saya difahamkan Liga-M akan bersambung semula pada bulan Jun, kalau Jun ia terlalu awal. Kalau PKP ditamatkan, dalam masa satu atau dua bulan selepas itu mungkin masih terlalu awal untuk kita benarkan.

“Tetapi kalau PKP tamat pada Jun, pertandingan bersambung bulan Oktober atau November dengan SOP seperti bermain tanpa penonton dan sebagainya, mungkin kita boleh lihat dan pertimbangkan perkara tersebut,” kata Datuk Seri Ismail Sabri.

Korea Selatan, Itali dan Jerman diberi kebenaran untuk meneruskan saingan liga domestik di negara masing masing meskipun jangkitan Covid 19 yang tinggi masih lagi berlaku.

Tambahnya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi saranan dan nasihat selepas menilai cadangan dan pandangan daripada FAM dan KBS sebelum kata putus dikeluarkan berhubung status Liga M.

 

 

- Advertisement -