Pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira menganggap kehadiran empat pasukan Reserve Team dalam saingan Liga Premier 2020 tetap menjadikan tahap kompetitif liga lebih tinggi pada musim ini sambil menyifatkan kualiti mereka sehebat pasukan Liga Super.

Johor Darul Ta’zim II, Terengganu FC II, Selangor II dan Perak II bakal mewarnai Liga Premier tahun ini di mana Manzoor melihat empat pasukan berkenaan tetap dibarisi pemain-pemain yang berkualiti tinggi dan mampu mencabar kekuatan pasukan lain yang ingin merebut slot ke Liga Super 2021.

Meskipun kedudukan kelima dan keenam liga sudah boleh melayakkan sesuatu pasukan itu ke Liga Super sekiranya empat Reserve Team berkenaan menduduki tangga teratas Liga Premier, situasi itu tidak akan menjadikan skuad utama seperti Pulau Pinang mengambil mudah akan sesuatu perlawanan.

Sebaliknya, mereka tetap sasar untuk sentiasa memburu kemenangan bagi merebut tangga teratas liga sekali gus layak secara merit, bukannya hanya menggunakan kelebihan lain ke atas empat skuad pembangunan berkenaan.

“Kami tidak pernah terfikir untuk beraksi acuh tak acuh dan mengambil kesempatan dengan adanya empat pasukan ini kerana sasaran kami tetap untuk memburu dua tangga teratas Liga demi maruah pasukan.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu, pasukan Reserve Team ini tidak berdepan tekanan terlalu tinggi malah sentiasa diberi sokongan pasukan utama, jadi kami sebenarnya lebih tertekan untuk mengejar kemenangan.

“Orang mungkin tidak nampak sangat persaingan Liga Premier namun saya bercakap atas pengalaman ketika berdepan JDT II sebelum ini apabila lawan menurunkan pemain hebat seperti Dominic Tan, Haziq Nadzli, Naxto Insa dan ramai lagi yang setaraf di Liga Super menjadikan perlawanan begitu mencabar,” katanya.

Bekas kapten PKNS FC, Shahrom Kalam yang kini beraksi bersama Negeri Sembilan juga beranggapan sama apabila menyifatkan pasukan Reserve Team ini sentiasa menjadi medan kepada pemain-pemain muda yang ingin mempamerkan kemampuan untuk mereka layak beraksi ke pasukan utama.

Beliau menafikan bahawa kewujudan lambakan pasukan pembangunan akan memudahkan laluan kepada pasukan lain yang ingin ke Liga Super 2021 kerana empat skuad Reserve Team ini bukanlah calang-calang di samping bakal menghadirkan persaingan menarik untuk pasukan seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan lain-lain memburu tiket layak secara merit ke Liga Super 2021.

“Saya tidak bersetuju kalau nak kata saingan Liga Premier akan jadi tidak kompetitif musim ini kerana sewaktu saya di Felcra FC, pasukan seperti JDT II khususnya mampu beri saingan kuat menjadikan perlawanan yang amat sukar untuk kami.

“Tiada istilah jalan mudah untuk pasukan seperti kami di Negeri Sembilan dan skuad lain kerana masing-masing tetapi ingin memburu kemenangan demi kemenangan.

“Saya tahu situasi sebenar dalam saingan Liga Premier berdasarkan pengalaman saya bersama Felcra melihat kepada kualiti yang ada dalam pasukan Reserve Team yang sentiasa menurunkan pemain-pemain hebat untuk kami hadapi,” jelasnya.

- Advertisement -