Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Liridon Krasniqi menjadi pemain naturalisasi kedua Malaysia selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh.

Setiausaha Agung FAM menerusi kenyataan media FAM hari ini, Krasniqi telah menerima kad pengenalan MyKad sekaligus menjadi warga negara Malaysia.

“Untuk itu, FAM dengan rasa berbesar hati ingin memaklumkan bahawa Liridon telah sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian selepas beliau menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya, sebentar tadi.

Dengan memperoleh MyKad dan bergelar warganegara Malaysia, Liridon yang genap berusia 28 tahun pada 1 Januari 2020 kini selangkah sahaja lagi untuk layak menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi iaitu hanya menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),”kata Stuart

Inisiatif dan idea ke arah pengambilan pemain naturalisasi ini mula dicetuskan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sejak dari hari pertama beliau memegang jawatan tersebut pada 14 Julai 2018.

 

 

Ia seterusnya mula digerakkan menerusi pembentukan Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan disusuli mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi menerusi tiga peringkat – jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat kali ketujuh bagi penggal 2017-2021 pada 30 Mac 2019.

Tambah Stuart lagi, FAM akan menghantar dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin serta para pegawai dari Kementerian Dalam Negeri yang telah banyak membantu sepanjang proses untuk Liridon mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia

Pemain berusia 28 tahun ini memulakan kariernya dalam saingan Liga Malaysia pada 2015 dengan menyarung jersi Kedah sehingga 2018 sebelum berhijrah ke Melaka United selama semusim dan kemudiannya berhijrah ke selatan tanah air untuk menyertai Johor Darul Takzim

 

- Advertisement -