Johor Darul Takzim (JDT) sah menandatangani pemain tengah kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi sebagai persiapan awal bagi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara Juara Asia musim depan.

Liridon yang merupakan bintang pasukan Kedah selama empat musim bermula 2015 sebelum berhijrah ke Melaka United.

Jurulatih JDT, Benjamin Mora melihat Liridon mempunyai kualiti yang diperlukan oleh JDT untuk mengharungi musim baru.

“Dia telah berada di sini sudah lama dan mempunyai kualiti sebagai seorang pemain import. Kita boleh terapkan dia sebagai tempatan. Dia seorang yang profesional, berjaya. Dengan pemain yang bagus di sisi, dia akan memberikan aksi yang bagus,”kata Benjamin Mora.

Bagi Liridon, status dan kemampuan yang ada di JDT menjadi sebab pemain berusia 27 tahun itu memilih untuk berhijrah ke selatan tanah air.

“Apa yang mendorong saya untuk ke JDT? Mudah, JDT merupakan kelab yang terbaik di Asia Tenggara dan hebat serta berwawasan,”kata Krasniqi.

Sepanjang kariernya di Kedah, Liridon Krasniqi membuat 67 penampilan dan menjaringkan 19 gol.

Namun cerita di Melaka United berbeza apabila hanya mampu melakukan enam penampilan dan menjaringkan 1 gol sebelum lebih banyak menjalani rawatan susulan kecederaan.

Namun, cerita hanya kenangan dan Liridon menyatakan sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami semasa mewakili Melaka United pada saingan Liga Super lalu.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan Liridon Krasniqi mempunyai masalah displin.

“Kami agak terkejut kerana khabar angin mengatakan beliau bermasalah. Selepas saya tengok di JDT, kerja, displin dan dia adalah pemain profesional dan berkualiti,”kata Tunku Ismail

Tunku Ismail dalam pada itu mendedahkan kelab tersebut bakal menandatangani seorang pemain kelahiran Sepanyol, yang kini sedang beraksi di Asia.

- Advertisement -