Oleh Muhammad Aiman

Di sebalik keadaan kekangan bajet, acara perlumbaan berprestij Asia, Le Tour De Langkawi 2017 yang akan berlangsung dari 22 Februari ke 1 Mac depan tetap akan menjadi antara yang terbaik pernah dianjurkan.

Itu jaminan pihak penganjur Ciclista Sports Sdn Bhd serta Kementerian Belia dan Sukan yang percaya betapa saat sukar dek keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu akan dapat ditangani dengan baik dan efektif. 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, “Tahun 2017 cukup mencabar buat KBS, kerana kita turut mendukung tanggungjawab melaksanakan Sukan Sea dan Sukan Para Asean 2017. Kementerian terpaksa menidakkan, memotong atau mengurangkan bajet kepada acara sukan lain kerana tumpuan kewangan kita terhadap dua temasya besar itu.  

“Walau bagaimanapun melihat kepada populariti dan kepentingan LTDL kepada industri sukan pelancongan negara, acara ini diteruskan walaupun berskala sederhana. Saya percaya penganjur Ciclista Sports akan buat persediaan mantap bagi meneruskan penganjuran, walaupun pemotongan kos terpaksa dibuat tetapi apa yang pasti kualiti dan standard penganjuran akan dikekalkan sebaik mungkin.”

“Saya juga yakin Ciclista memahami konsep penwastaan acara, di mana jangka masa tertentu perlu bergantung sepenuhnya kepada penajaan korporat bukan kepada dana kerajaan,” Khairy berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Pelancaran Imej dan Pengenalan Laluan LTDL 2017 di KBS, pada Khamis.

Berkongsi nada sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif LTDL 2017, Emir Abdul Jalal yang berkata perkara yang menjadi keutamaan mereka apabila kementerian mengurangan bajet dari RM11 juta tahun ini kepada hanya RM6 juta tahun depan adalah memastikan status 2.HC ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa dapat dikekalkan.

Beliau turut menyatakan bahawa sasaran perlumbaan LTDL 2017 nanti adalah menarik lebih penyertaan dari pasukan pro-benua dan berkemungkinan mengurangkan pasukan pro-continental manakala selebihnya adalah pasukan dari Asia.

Bagaimanapun jumlah sebenar menurutnya hanya akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat dan setakat ini satu pasukan pro-benua sudah mengesahkan penyertaan mereka.  

Untuk makluman, LTDL 2017 akan membabitkan lapan peringkat iaitu Kuala Berang – Kuala Terengganu (pertama), Jerteh-Gerik (kedua), Serdang-Pantai Remis (ketiga), Seri Manjung-Cameron Highlands (keempat), Tapah-Dataran Merdeka (kelima), Senawang-Muar (keenam), Bandaraya Melaka-Bandar Baru Bangi (ketujuh) dan Setiawangsa – Putrajaya (kelapan). 

Laluan terpendek adalah peringkat ketiga sepanjang 118KM manakala laluan terpanjang adalah peringkat kedua sepanjang 208.1KM.

- Advertisement -