gambar ihsan Hong Kong Football Association Ltd
Peluang skuad negara untuk layak beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2019 semakin samar setelah diaibkan 0-2 oleh Hong Kong dalam aksi Kumpulan B pusingan kelayakan yang berlangsung di Kowloon pada Selasa.
Turun dengan misi wajib menang perlawanan setelah hanya mampu mengutip satu mata dari dua perlawanan terdahulu, Malaysia kendalian Nelo Vingada bagaimanapun gagal menepati ekspetasi itu apabila sekadar tampil longlai dan tidak langsung menunjukkan keinginan memburu kemenangan.
Sepertimana dijangka, Malaysia bermain tanpa penyerang tulen dengan Baddrol Bakhtiar dan Safiq Rahim mengalas tanggungjawab menjaringkan gol namun apa yang terjadi, Malaysia gagal merekodkan sebarang percubaan tepat pada perlawanan ini.
Cukup memalukan untuk melihat sebuah pasukan yang mahu memburu tiga mata dalam aksi cukup getir, namun pemain tidak menunjukkan keghairahan mahupun kesungguhan sebaliknya beraksi ala kadar tanpa mencipta sebarang peluang jaringan.
Lebih malang, Safiq yang memakai lilitan lengan selaku ketua pasukan terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal apabila dilayangkan kad merah oleh pengadil gara-gara memijak pemain lawan pada minit ke-40.
Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan sebaiknya Hong Kong yang pantas merebut pendahuluan dua minit selepas itu selepas penyerang Jorge Tarres menanduk masuk hantaran sepakan percuma rakan sepasukan.Â
Hong Kong nyata bukanlah sebuah pasukan yang beraksi sempurna, namun kegagalan Malaysia untuk bangkit memberi tentangan malah bermain seolah tiada visi dimanfaatkan sebaiknya skuad bimbingan Kim Pan Gon itu yang kemudiannya menambah jaringan kedua menerusi percubaan Jaimes McKee empat minit bersambung separuh masa kedua.
Ketinggalan dua gol, Vingada memasukkan Darren Lok untuk mengemudi barisan depan pada minit ke-60 namun pemain itu gagal membawa impak dan 10 minit sebelum berakhir perlawanan, giliran Wan Zack Haikal dibawa masuk menggantikan Baddrol.
Pemain Felda United itu berjaya menerap tenaga positif di dalam permainan skuad kebangsaan namun dengan masa yang terlalu suntuk, tiada apa yang dapat dilakukan Wan Zack untuk membantu mengelak kekalahan mengaibkan ini.
Kekalahan meletakkan Malaysia terus terporosok di tangga terbawah dengan hanya satu mata manakala Hong Kong melonjak ke tangga kedua dengan lima mata. Lubnan masih kekal selaku pendahulu dengan enam mata. OLEH MUHD AIMANÂ