Print

Oleh Ku Mohd Lufti

Skuad badminton remaja negara menepati ramalan apabila mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia.

Dalam perlawanan peringkat kedua Kumpulan C, pasukan negara membelasah Mongolia 5-0 menerusi beregu campuran negara Hoo Pang Ron/Pearly Tan, yang hanya mengambil masa 11 minit untuk menewaskan Tegshzaya Choinkhor/Temuulen Gombodorj dengan 21-3 dan 21-4.

Kemudian, pemain perseorangan lelaki Leong Jun Hao menewaskan Tuguldur Boldbaatar dengan 21-14 dan 21-12 diikuti mata kemenangan ketiga oleh pemain perseorangan wanita Eoon Qi Xuan yang mudah mengalahkan Batchimeg Batnairamd dengan 21-3 dan 21-3 dalam masa 14 minit.

Beregu lelaki juga tidak berdepan masalah menewaskan lawan mereka apabila Sim Fong Hau/Tan Jia Wei mengalahkan Tuguldur Boldbaatar/Temuulen Gombodorj, 21-5 dan 21-3.

Beregu wanita yang diwakili oleh Toh Ee Wei/Yap Ling hanya memerlukan 12 minit untuk melengkapkan kemenangan pasukan negara dengan 21-4 dan 21-3.

Namun, skuad badminton negara gagal mengungguli Kumpulan C selepas tewas kepada Indonesia 1-4, untuk membolehkan negara itu muncul juara peringkat Kumpulan C dan Malaysia di kedudukan kedua.

Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu, hanya pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia sahaja yang menyumbangkan mata selepas menewaskan pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo dengan 21-19 dan 21-10.

Pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei tewas kepada Gregoria Mariska dalam pertarungan sengit 21-18, 24-26, 15-21 diikuti dengan kekalahan beregu campuran Chen Tang Jie/Toh Eei Wei, 20-22 dan 13-21 kepada Apriani Rahayu/Rinov Rivaldy.

Turut terkandas adalah beregu lelaki, Ooi Zi Heng/Soh Wooi Yik dengan 21-17, 13-21 dan 18-21 kepada Bagas Maulana/Rinov Rivaldy.

Gandingan beregu wanita Goh Jin Wei dan M.Thinaah pula menarik diri daripada perlawanan walaupun mereka memenangi set pertama 21-17 ketika menentang Apriani Rahayu/Juaza Fadhila Sugiarto.

Skuad negara akan menghadapi tentangan sengit pada suku akhir apabila dijadualkan bertemu China, juara kumpulan A.

- Advertisement -