gifu

Oleh Muhammad Aiman

Hasrat pasukan negara untuk mencari kemenangan saguhati dalam siri jelajah selama 10 hari di Jepun tidak kesampaian apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan latihan terakhir di Kakamigahara pada Rabu.

Pada perlawanan itu, skuad negara bangkit dari ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Rashid Baharom pada minit ke-49.

Stephen Van Huizen mungkin merasakan belum tiba masanya untuk menekan butang panik, namun dua keputusan seri dan empat kekalahan dalam keseluruhan enam perlawanan menentang pasukan yang menamatkan Kejohanan Sultan Azlan Shah dua bulan lalu di tangga tercorot tanpa sebarang mata itu membuktikan betapa masih terlalu banyak perlu diperbaiki dalam skuad The Speedy Tigers.

Kehilangan ramai pemain tonggak antaranya Razie Rahim, Shahril Saabah dan Nabil Fiqri juga tidak boleh terus dijadikan alasan tatkala Malaysia mempunyai ramai pemain muda berbakat dan berkualiti yang seharusnya sudah bersedia menyahut cabaran bila-bila masa khidmat mereka diperlukan. 

Stephen bagaimanapun tetap optimistik dan bercakap mengenai pencapaian keseluruhan pasukan negara di Jepun, dia berkata, “Saya lihat ada peningkatan signifikan ditunjukkan oleh para pemain. Beberapa perlawanan sebelum ini cukup sengit dan sepatutnya menjadi milik kita, tetapi kita tidak mengambil peluang tersebut.

“Bagi saya apa yang penting, jelajah ini telah memberikan pemain-pemain muda kita satu pengalaman berharga serta pendedahan yang cukup bagus. Ianya satu proses pembelajaran yang baik untuk mereka, kerana mereka inilah yang akan menjadi tulang belakang skuad negara selepas ini.”

Untuk rekod, lima perlawanan sebelum ini berkesudahan dengan Speedy Tigers tewas empat kali iaitu 1-5, 1-3, 3-4 dan 1-2 serta satu keputusan seri 1-1.

Selepas ini, pasukan negara akan bersiap untuk menghadapi Trofi Cabaran Juara-Juara yang akan berlangsung di Kuantan pada Oktober depan.

- Advertisement -