Ku Jin Keat
Ku Jin Keat

Oleh Muhammad Aiman

Atlet remaja Malaysia tampil dengan kelas tersendiri untuk memenangi enam daripada 13 pingat emas yang dipertandingkan pada hari pertama Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) di Port Dickson, pada Jumaat.

Ianya nyata hari ceria buat jurulatih pasukan kebangsaan yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2010, Ku Jin Keat apabila menyaksikan anak didiknya beraksi cemerlang bagi mengungguli kejohanan membabitkan kategori junior (16-17 tahun) itu.  

Pingat emas pertama negara hadir menerusi Ariana Lim, Cherlene Chung dan Theodora Robless yang berganding cemerlang dalam acara kata berpasukan wanita untuk menewaskan Indonesia 3-2.

Oi San Hong kemudiannya memenangi emas kedua negara dalam acara kata individu lelaki dengan menewaskan rakan senegara Ernie Tye 5-0 pada perlawanan akhir.

San Hong kemudiannya bergandingan bersama Ernie dan Kojira Yong untuk menang emas dalam acara kata berpasukan lelaki dengan menewaskan Thailand 5-0.

Hasrat Malaysia menyapu bersih emas acara kata bagaimanapun tidak kesampaian apabila Ariana hanya mampu meraih gangsa dalam acara individu wanita – atlet kelahiran Pulau Pinang itu tewas 0-5 kepada Emilia Hanandyta di separuh akhir.

Tiga lagi pingat emas pasukan negara, hadir menerusi acara kumite – Muhammad Arif Afifudin menewaskan pesaing dari Vietnam, Nguyen Hung Nhut 3-2 dalam kategori bawah 68kg, diikuti kemenangan yang dilakar S.Arulveeran dalam kategori lebih 76kg dengan menewaskan atlet Kemboja Cheng Lim Chohoeun 8-0.

D.Selvakumar turut melangkah ke perlawanan akhir kumite bagi kategori bawah 76kg, tetapi tewas kepada atlet Vietnam Bui Phuoc Tang 2-3.

Emas terakhir Malaysia disumbangkan C.Shahmalarani yang menjadi wakil tunggal wanita layak ke final bagi kategori kumite, dia menewaskan atlet Thailand Chippensuk Chanyanut 3-1 untuk menang emas kategori bawah 48kg.

Dengan kutipan enam emas, dua perak dan tujuh gangsa, Malaysia mendahului carta kedudukan pingat bagi kejohanan membabitkan lapan negara itu manakala Vietnam di kedudukan kedua dengan 3-4-2, Indonesia (3-3-5) di tempat ketiga, diikuti Thailand (1-3-2) dan Kemboja (0-1-0).

- Advertisement -