Foto – AFC

Malaysia tiada pilihan selain perlu menang ke atas Bahrain dalam aksi terakhir peringkat kumpulan jika mahu meneruskan kemaraan ke suku akhir Kejuaraan Futsal Asia yang sedang berlangsung di Taiwan.

Pasukan negara tidak pernah mara melepasi halangan peringkat kumpulan dalam 11 penyertaan sebelum ini dan peluang untuk mencipta sejarah dilihat cerah selepas bangkit menundukkan Vietnam 2-1 dalam aksi pembukaan.

Begitupun kekalahan 4-5 kepada tuan rumah Taiwan dalam aksi kedua pada Sabtu menyaksikan skuad bimbingan Chiew Chun Yong terlepas peluang mengesahkan tempat di kelompok lapan terakhir lebih awal.

“Saya perlu akui pasukan saya tidak beraksi menepati ekspetasi. Mereka (Taiwan) jaringkan gol menerusi serangan balas dan itu adalah kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi menentang Bahrain. Kumpulan ini agak terbuka dan semua pasukan masih berpeluang untuk ke suku akhir,” kata Chun Yong.

Pada perlawanan itu Malaysia menunjukkan permainan bertenaga di separuh masa kedua apabila bangkit daripada ketinggalan 1-4 untuk mengikat kedudukan 4-4 sekadar namun akhirnya dikecewakan menerusi jaringan minit akhir Lim Chih Hung.

Taiwan mendahului 3-0 pada satu ketika menerusi jaringan Lai Ming Hui (m-8), Chih Hung (m-13) dan Chi Sheng Fa pada minit ke-21 sebelum Azwann Ismail mengurangkan defisit pada minit ke-27.

Ming Hui mengembalikan kelebihan tiga gol buat Taiwan pada minit ke-32 namun Malaysia tidak berputus asa dan menjaringkan tiga gol pantas menerusi Khairul Effendy Bahrin (m-32) serta Awalludin Mat Nawi (m-33, 36).

Hasrat mengutip satu mata bagaimanapun lebur apabila rembatan dari sudut sukar Chih Hung gagal diselamatkan Azrul Hadee Taufiq seminit sebelum tamat permainan menyaksikan Malaysia akur tewas 4-5.

“Saya bermain power-play (tanpa penjaga gol) pada tujuh minit terakhir kerana kita ketinggalan tiga gol dan perlu mendapatkan jaringan. Saya memang yakin kita boleh bangkit, dan pemain melakukannya dengan baik sekali cuma kita tidak bernasib baik sedikit kelekaan di penghujung permainan membolehkan Taiwan beroleh gol kemenangan,” tambah Chun Yong lagi.

Sementara itu, Vietnam menghidupkan peluang untuk ke suku akhir setelah menundukkan Bahrain 2-1 dalam satu lagi aksi.

Taiwan ketika ini mengungguli Kumpulan A dengan empat mata, diikuti Malaysia dan Vietnam dengan tiga mata, manakala Bahrain satu mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -