JUARA bertahan Melaka menarik nafas lega setelah hampir dikejutkan Perlis pada perlawanan pembukaan Kumpulan A TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 yang berakhir dengan kedudukan 2-2 di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil di sini malam ini. 

Pada ketika Perlis hampir meraikan kejayaan dengan kedudukan mendahului 2-1, Melaka diberikan pukulan sudut pendek pada minit terakhir oleh pengadil. 

Melaka sebelum itu membuka jaringan menerusi pukulan sudut pendek Muhammad Firdaus Omar pada minit ke-19. Selepas separuh masa, usaha Perlis yang berterusan menekan kubu Melaka berhasil apabila diberikan pukulan penalti pada minit ke-49 dan disempurnakan pemain senior kebangsaan  Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil. 

Perubahan dalam taktik permainan membolehkan Perlis menguasai permainan, seterusnya menghasilkan jaringan pendahuluan menerusi pukulan sudut pendek Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-50.

Pada ketika keputusan hampir saja memihak kepada Perlis, Melaka menarik nafas lega apabila diberikan pukulan sudut pendek pada minit terakhir yang disempurnakan kapten pasukan Nmasiyavam Batma Nathan untuk kedudukan muktamad 2-2. 

Dalam pada itu, skuad pilihan Selangor juga gagal mengatasi Sabah dan sekadar berkongsi mata setelah terikat 1-1 pada perlawanan sengit Kumpulan B.  Selangor mendahului menerusi pukulan sudut yang disempurnakan Ahmad Lufti Mohd Sam pada minit ke-23 tetapi Sabah mengembalikan harapan untuk melangkah ke pusingan seterusnya menerusi kejutan jaringan pukulan sudut Abdul Khaliq Hamirin. 

Selangor kini berdepan Johor pada perlawanan kedua Kumpulan B esok untuk mencerahkan kedudukan ke pusingan seterusnya. 

Pada satu lagi perlawanan Kumpulan B, kedudukan naib juara tahun lepas Johor terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan Perak selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.  

Kuala Lumpur, yang kali terakhir mengecapi kejuaraan pada 2011, melepasi halangan awal dengan kemenangan besar 6-4 ke atas Pahang. Penyerang Mohd Ramadan Rosli menutup kempen hari pertama dengan hatrik pada minit ke-9, 32 dan ke-52 untuk  membantu Kuala Lumpur meraih mata penuh.  Esok, KL berdepan Negeri Sembilan pada perlawanan kedua di padang yang sama.  

“Pemain perlu tingkatkan fokus dan saya ingatkan pemain jangan sesekali memandang rendah keupayaan pasukan lawan. Kami akan terus berusaha dari satu perlawanan ke perlawanan lain,” kata jurulatih Kuala Lumpur S. Selvaraju selepas perlawanan. 

Dalam pada itu, Negeri Sembilan mengatasi Kedah 2-1 manakala Mohd Norhafizie Jamil Azomi muncul wira ATM membantu skuad itu meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Kelantan. 

Bekas pemain kebangsaan Faizal Shaari nyata masih berbisa apabila mengemudi juara dua kali Terengganu mengutip mata penuh selepas kemenangan besar menewaskan PDRM 5-0. Terengganu berdepan bekas juara 9 kali  Perak pada perlawanan kedua esok. 

Dalam saingan WANITA, juara bertahan Selangor, yang dibarisi lapan pemain kebangsaan, memulakan kempen dengan bergaya selepas kemenangan besar 8-0 ke atas Terengganu. Fatin Naimah Zaki muncul wira sebagai penjaring hatrik selain sumbangan gol dari Nur Atira Mohamad Ismail, Fatin Syafikah Madh Sukri dan Nuramirah Shakirah Zulkifli.  

“Di awal perlawanan rentak permainan kami sedikit perlahan kerana mungkin ini merupakan aksi pertama dan pemain masih belum panas. Saya menyertai pasukan kerana mahu membantu dan memberikan sokongan kepada pasukan selain memberikan ruang kepada pemain muda untuk belajar sedikit sebanyak ilmu yang boleh saya ajarkan kepada mereka,”kata Fatin Naimah. 

Pulau Pinang pula mengejutkan Perak 3-2 manakala Melaka berjaya meraih mata penuh mengatasi Kuala Lumpur 1-0 pada saingan Kumpulan B menerusi jaringan tunggal Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minit ke-28.

Pahang pula tidak berdepan masalah menundukkan Sarawak 5-0. 

 

KEPUTUSAN HARI PERTAMA:

LELAKI 

KUMPULAN D:

Kuala Lumpur 6 Pahang 4

Negeri Sembilan 2 Kedah 1

 

KUMPULAN C

ATM 2 Kelantan 1

Terengganu 5 ATM 0

 

KUMPULAN B: 

Sabah 1 Selangor 1

Johor 3 Perak 3

 

KUMPULAN A:

Melaka 2 Perlis 2

 

 

 

 

WANITA

 

KUMPULAN A:

Selangor 8 Terengganu 0

Pulau Pinang 3 Perak 2

 

KUMPULAN B:

Melaka 1 Kuala Lumpur 0

Pahang 5 Sarawak 0

- Advertisement -