TNBMHL 2021 LEPASI CABARAN

BERAKHIRNYA Liga Hoki Malaysia (TNBMHL 2021) semalam tanpa sebarang masalah sepanjang lebih tiga minggu berlangsungnya saingan meninggalkan kesan positif selain memberi solusi terhadap penganjuran acara sukan di negara ini menerusi pendekatan gelembung sukan yang diperkenalkan ditengah-tengah wabak Covid-19.

Selepas beberapa kali tertangguh, Kesatuan Hoki Malaysia (MHC) mendapat lampu hijau dari pihak kerajaan untuk meneruskan Liga TNBMHL 2021 di bawah prosedur operasi standard yang ketat yang mewajibkan hanpir 600 orang termasuk pasukan, pegawai, pemain dan mereka yang terbabit secara langsung ditempat secara berpusat dalam gelembung sukan yang berpusat di Hotel Pullman  di sini. 

Usaha MHC nyata mendapat pujian pelbagai pihak terutama pemain dan pasukan biarpun terpaksa menanggung kos besar demi memastikan musim 2021 tidak tercicir dalam lipatan sejarah penganjuran TNBMHL. 

Ia sekaligus memberi peluang kepada pasukan dan pemain yang sudah “ketagih” untuk bermain secara kompetitif setelah sebarang acara sukan tidak berlangsung hampir setahun. 

“Saya amat terharu dengan segala pengorbanan yang telah dicurahkan oleh pelbagai pihak untuk menjayakan Liga musim ini. Ya, ia bukan satu perkara yang mudah tetapi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah bertungkus lumus di belakang tabir dan sebenarnya the unsung heroes,” kata Presiden MHC Dato’ Sri Subahan Kamal.

Beliau turut melahirkan penghargaan khususnya kepada Tenaga Nasional Berhad di atas sokongan padu sebagai penaja utama selain para pemain, pasukan serta warga MHC khususnya para pegawai teknikal, pengadil dan umpire serta pelbagai jawatankuasa yang menunjukkan komitemen tinggi dan sanggup berkorban memastikan kelancaran penganjuran serta gelembung sukan. 

MHC merupakan antara persatuan sukan utama yang berjaya menganjurkan acara sukan dan liga pada skala yang besar dengan menggunakan konsep gelembung sukan selain bolasepak ketika ini. 

Di atas padang, biarpun tanpa kehadiran penonton, pasukan dan pemain nyata teruja dengan saingan kompetitif mereka yang pertama sejak Mac tahun lepas biarpun terpaksa “dikurung” sepenuhya di hotel rasmi, Hotel Pullman di Bangsar yang mengamalkan prosedur ketat termasuk prosedur keluar masuk yang ketat. 

Penguasaan pasukan pilihan UniKL, di bawah kendalian jurulatih baru Megat Azrafiq Megat Termizi, nyata menyerlah dengan dua kejuaraan Sumbangsih dan Liga manakala pasukan Terengganu (THT) yang dibimbing jurulatih berpengalaman K. Rajan mengungguli gelaran juara Piala TNB. 

“Jika dilihat dari mula hingga akhir musim, ternyata jurang antara UniKL dan THT tidak jauh, kekuatan hampir sama,” kata Rajan selepas perlawanan akhir menentang UniKL semalam. 

Saingan wanita pula menyerlahkan penguasaan skuad baru UniKL Ladies bimbingan Roslan Jamaluddin yang muncul juara Liga manakala Uniten-KPT , di bawah teraju bekas pemain kebangsaan Lailin Abu Hassan, unggul mempertahankan kejuaraan Piala Vivian May Soars 2021. 

Medan saingan Liga juga pasti menghadirkan kesan positif buat jurulatih kebangsaan Arul Selvaraj dan pimpinan kejurulatihan remaja lelaki dan wanita dalam menilai prestasi pemain-pemain yang akan menggalas tanggungjawab di beberapa kejohanan-kejohanan antarabangsa selepas ini. 

Ketiadaan pemain import musim ini memberi peluang besar dan petanda positif terutamanya kepada pemain-pemain kebangsaan yang beraksi untuk pasukan pasukan seperti  UniKL, THT, TNB dan Maybank serta UniKL Ladies, PKS Uniten-KPT, PDRM Blue Warriors dan Young Tigress untuk menyinar. 

Antaranya penyerang THT Faizal Saari yang muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 16 gol dan Nuramirah Shakirah Zulkifli (UniKL Ladies) yang mengumpul 10 gol peribadi keseluruhan. 

Tumpuan kini terarah kepada persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi beberapa saingan antarabangsa utama besar selepas ini biarpun masih terpaksa sentiasa berwaspada menjalani latihan dan bersaing di bawag SOP yang ketat . 

SENARAI PENGHARGAAN 2021

LIGA HOKI MALAYSIA (Premier) 2021

Juara: UniKL

Naib Juara: THT

Tempat Ketiga: Maybank

PIALA TNB 2021

Juara: THT

Kedua: UniKL

Ketiga: TNB

ANUGERAH KHAS

Fairplay: Sabah

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Mohd Shahrun Nabil Abdullah (THT)

Penjaring Tebanyak: Faizal Saari (THT – 16 gol)

Penjaga Gol Terbaik: Muhammad Zaimi Mat Deris  (Maybank)

Pemain Muda Terbaik: Shello Silverius (THT)

Penjaring Terbanyak: Faizal Saari (16 gol) 

TNB LIGA HOKI MALAYSIA (WANITA) 2021

Juara: UniKL Ladies

Naib Juara: PDRM Blue Warriors

Tempat Ketiga: PKS Uniten-KPT

PIALA VIVIAN MAY SOARS 2021

Juara: PKS Uniten KPT

Naib Juara: UniKL Ladies

Tempat Ketiga: PDRM Blue Warriors

 

ANUGERAH KHAS

Fairplay: Mutiara Juniors PSHA

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Nur Aisyah Yaacob (PKS Uniten-KPT)

Penjaring Terbanyak: Nuramirah Shakirah Zulkifli (UniKL Ladies – 10 Gol)

Penjaga Gol Terbaik: Siti Zalia Nasir (UniKL Ladies) 

Pemain Muda Terbaik: Nuramirah Shakirah Zulkifli (UniKL Ladies)

- Advertisement -