Susulan kes jangkitan Covid-19 melibatkan atlet negara, Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan untuk menutup semua pusat latihan di seluruh negara berkuat kuasa esok.

Ia selaras dengan pengumuman Kawalan Perintah Pergerakan oleh Kerajaan Malaysia yang bermula 18 hingga 31 Mac bagi membendung penularan Covid-19 yang semakin serius.

Sidang media oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata bersama sama Institut Sukan Negara, pihaknya telah memutuskan untuk menutup semua pusat latihan MSN di seluruh negara.

Ia termasuk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang terletak di Gambang, Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang terletak di Bukit Kiara dan Kolej Keenam di Universiti Putra Malaysia (UPM), Pusat Kecemerlangan Paralimpik dan Pusat Latihan Perahu Layar MSN di Langkawi.

MSN juga telah mengarahkan kesemua atlet untuk pulang ke kampung halaman kecuali 37 orang atlet dan 10 pegawai yang sedang menjalani proses kuarantin sehingga 28 Mac selepas disyaki berada bersama atlet baling tukul negara, Jackie Wong yang positif Covid-19.

Di Bukit Kiara, 16 pemain badminton termasuk perseorangan lelaki, Lee Zii Jia turut menjalani proses kuarantin di ABM selepas pulang daripada Birmingham menyertai saingan All England yang tamat minggu lepas.

 

 

- Advertisement -