2016 Resorts World Genting Champions Challenge Semi Final
Muar City Tempah Tiket Final Setelah Mudah Jinakkan Ampang Jaya dalam pusingan separuh akhir di Arena of Stars, Genting Highlands. Kredit Foto – 1Titan.com

Resorts World Genting Champions Challenge - Logo 240x276Kelab Badminton Muar City mudah menempah tiket ke perlawanan akhir Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting 2015 setelah menjinakkan Kelab Badminton Ampang Jaya 9-0 dalam aksi separuh akhir di Arena of Stars, di sini.

Muar City yang hampir berputih mata ketika aksi suku akhir menentang Serdang, tampil dengan keyakinan tinggi dan langsung tidak tercabar oleh Ampang Jaya yang dilihat tidak berupaya mengulangi aksi cemerlang sama yang ditunjukkan ketika menyingkirkan Kelab Badminton Petaling Jaya di suku akhir.

Pengurus pasukan Muar City, Huan Woon Han berkata, “Memang sejak sebelum perlawanan saya yakin kita akan menang, semua pemain bermotivasi tinggi dan ia kemenangan hebat buat pasukan. Mereka janji tidak lakukan kesilapan sama dan kini saya mahu mereka ulangi aksi sama pada perlawanan akhir dan menebus kekecewaan tahun lalu. Itu adalah kemenangan sebenar buat kita.”

Pemain nombor 12 dunia dari Korea, Lee Hyun Il yang sebelum ini berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran beraltitud tinggi kembali menepati reputasinya apabila memacu kemaraan Muar City menerusi kemenangan 3-0 (11-9, 11-10, 11-8) dalam masa 21 minit ke atas Goh Giap Chin.

Rusydina Antardaya beat Desiree Siow Hao Shan 11-7, 11-8, 11-9
Perseorangan wanita, Rusydina Antardayu merupakan sandaran tunggal Muar City dalam acara perseorangan wanita. Kredit Foto – 1Titan.com

Perseorangan wanita, Rusydina Antardayu kemudiannya merekodkan kemenangan 3-0 (11-7, 11-8, 11-9) ke atas Desiree Siow – ia adalah kemenangan pertama buat Rusydina yang tewas dalam dua penampilannya sebelum ini iaitu ketika menentang Puchong United dan Serdang.

“Saya rasa hari ini lebih baik dari sebelumnya dan saya harap esok (final) lebih baik lagi. Selepas kalah dua kali, saya rasa lebih yakin, permainan saya lebih laju, fleksibel dan saya berani untuk serang lawan saya,” jelas Rusydina yang merupakan sandaran tunggal Muar City dalam acara perseorangan wanita ekoran ketiadaan pemain Korea, Kim Mun Hee dan Seena Kawakami (Jepun).

Kemenangan mutlak 9-0 buat Muar City dilengkapkan beregu campuran Han Sang Hun/Lee Hyo Jung yang kembali menunjukkan prestasi sebenar setelah beraksi longlai ketika tewas mengejut kepada Serdang pada aksi suku akhir – Sang Hun dan Hyo Jung menewaskan Ong Yew Sin/Shevon Lai 3-0 (11-8, 11-7, 11-6).

Muar City akan berdepan sama ada juara bertahan Kelab Badminton Kepong ataupun Kelab Badminton Puchong United dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 2 petang esok (Sabtu). Kepong dan Puchong akan berentap dalam satu lagi perlawanan separuh akhir jam 6 petang ini.

Lee Hyun-il beat Goh Chin Giap 11-9, 11-10, 11-8
Pemain nombor 12 dunia dari Korea, Lee Hyun Il yang sebelum ini berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran beraltitud tinggi. Kredit Foto – 1Titan.com

Dalam pada itu, pengurus Ampang Jaya, Ho Khek Mong sedikit terkilan kerana strategi pasukannya untuk mencuri mata dari Muar City menerusi tiga aksi terakhir iaitu beregu campuran, beregu lelaki dan perseorangan lelaki tidak kesampaian.

Namun Khek Mong menyifatkan pencapaian menduduki tangga ketujuh Purple League dan berada di kelompok empat terbaik Cabaran Juara-Juara di sebalik ketiadaan pemain utama adalah pencapaian yang memuaskan.

2016 Resorts World Genting Champions Challenge Semi Final-Muar City BC-Lee Hyo-jung-Han Sang-hoon beat Ong Yew Sin-Shevon Lai Jemie 11-8, 11-7, 11-6
Beregu campuran Han Sang Hun/Lee Hyo Jung yang kembali menunjukkan prestasi sebenar. Kredit Foto – 1Titan.com

“Keseluruhannya memuaskan. Kita kehilangan dua pemain Ronald Susilo dan Hayom Rumbaka yang alami kecederaan serius sejak dari peringkat awal aksi liga dan tidak dapat membantu cabaran kita. Manakala untuk perlawanan hari ini, kita memang merancang untuk dapatkan mata di tiga aksi terakhir kerana ia lebih seimbang dan terbuka buat kita.

“Tetapi kita tidak bernasib baik sebab gagal mencuri sekurang-kurang satu mata dalam dua aksi pertama, dan beregu campuran pula tidak dapat tangani intensiti tinggi setelah ketinggalan 6-0,” ujar Khek Mong.

- Advertisement -