muizzuddin.2

Sebelum Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar, tiada atlet pemotoran negara pernah mencatat kejayaan dalam sukan sukan go-kart di bumi Eropah.

Rekod beliau setakat ini mengatasi mana-mana pelumba negara pada usia beliau sekarang dalam sukan pemotoran tanahair.

Pada usia 12 tahun, Muizzuddin Musyaffa atau lebih senang dengan panggilan Muizz sudah bergelar juara dunia – sesuatu yang tidak pernah dicipta oleh nama-nama yang lebih besar dalam sukan pemotoran.

Status bergelar juara dunia itu terpahat apabila anak kelahiran Kuala Lumpur ini memenangi kejuaraan keseluruhan saingan berprestij dunia World Series Karting (WSK) Champions Cup untuk kelas 60 Mini di Itali tahun lepas.

Kejayaan dinobatkan sebagai juara dunia itu membolehkan beliau dipilih untuk menerima Anugerah Atlet Muda Terbaik pada Anugerah Sukan SAM-100Plus 2014.

Bersaing dalam kelas bawah 13 tahun, Muizz sahaja, turut muncul naib juara keseluruhan untuk kejuaraan WSK Masters Series pada tahun yang sama.

Pelumba cilik ini mula menceburi diri dalam bidang go-kart sejak berusia lapan tahun dan pada usia sembilan tahun beliau mula bersaing secara kompetitif di Eropah dengan menyertai kejuaraan penuh CSAI Italian Karting Championship di Itali.

Kejayaan meraih tempat keempat pada kejuaaraan antarabangsa Micro Max Invitation di Porto, Portugal pada 2009 menjadi titik-tolak Muizz mengorak langkah lebih jauh.

Prestasi Muizz di Portugal menyakinkan ibu-bapanya untuk membuat pelaburan untuk membolehkan beliau bersaing secara sepenuh masa dalam beberapa kejuaraan di Itali dengan kejohanan-kejohanan WSK dan CSAI Italian Karting Championship sebagai fokus utama.

Untuk saingan musim 2015, antara kejuaraan-kejuaraan besar akan ditandingi oleh Muizz adalah WSK Champions Cup, WSK Masters Series, CIK-FIA European Championship, CIK-FIA World Championship dan WSK Final Cup.

- Advertisement -