Misi pemburuan pingat dalam acara terjun bermula hari ini di Pusat Akuatik Optus menyaksikan gandingan Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri membutirkan pingat gangsa menerusi acara Terjun 3meter papan anjal seirama wanita.

Enam negara mengambil bahagian dalam acara ini dimana tuan rumah, menghantar dua wakil dalam misi memburu pingat emas.

Ternyata pasangan Esther Qin dan Georgia Sheehan cukup mantap dengan keseragaman dan teknik untuk memastikan mata tertinggi berjaya diraih sepanjang lima terjunan.

Mereka mengekalkan kedudukan teratas sepanjang masa sekaligus mengumpul 284.10 mata untuk mengesahkan pingat emas milik Australia.

Pingat perak milik gandingan penerjun dari England, Alicia Blagg/Katherine Torrance yang hanya dipisahkan 7.4 mata dengan Esther dan Georgia.

Manakala gandingan Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri membutirkan pingat gangsa selepas mengumpul 264.90 mata untuk menduduki tangga ketiga keseluruhan.

Pingat perak mungkin menjadi milik Malaysia, namun terjunan terakhir dengan teknik reverse 2 1/2 sommersault mengecewakan apabila kesilapan daripada Dhabitah sekaligus meraih mata terendah 42.30 mata.

“Pingat ini sudah tentu permulaan yang baik untuk kami. Saya dan Dhabitah akan bergandingan sekali lagi malam ini dan harap harap kami akan buat yang terbaik untuk Malaysia dan diri sendiri,”kata Mun Yee.

Misi pemburuan pingat kedua oleh Leong Mun Yee dan Nur DHabitah Sabri akan diteruskan malam ini apabila kedua dua penerjun negara akan beraksi dalam acara 10meter platform seirama wanita.

“Seperti yang Dhabitah kata, cabaran beraksi di sebelah malam ada keadaan angin dan cuaca yang sejuk dan kami digandingkan di saat saat akhir dan merupakan gandingan kedua Malaysia,”kata Mun Yee lagi.

Dalam pada itu, pemburuan pingat dalam acara terjun bakal diteruskan oleh tiga penerjun negara melayakkan diri ke saingan final dalam acara terjun 1 meter papan anjal lelaki individu.

Ahmad Amsyar Azman menghuni tangga ketujuh daripada 12 penerjun yang layak ke final selepas mengumpul 343.75 mata.

Manakala Muhd Syafiq Puteh berada di belakang Amsyar turut mengesahkan slot ke final selepas mengumpul 306.80 mata diikuti Ooi Tze Liang yang menghuni tangga ke 10 keseluruhan dalam acara saringan dengan catatan 302.30 mata.OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -