BERTUBUH kecil dengan ketinggian  150 sentimeter, Mohd. Nor Farihin Mohd. Nizam bagaimanapun memasang impian besar untuk beraksi di pentas Le Tour de Langkawi (LTdL) suatu hari nanti.
Berasal dari Kuala Lumpur, Nor Farihin, 14, sanggup berbasikal sejauh 10 kilometer dari Sungai Besi ke KLCC untuk menonton aksi penamat peringkat ketiga LTdL 2020 hari ini.
Kata Nor Farihin, dia amat teruja untuk menonton pelumba kegemarannya, Muhamad Nur Aiman Zariff dari pasukan Sapura Cycling Team (TSC) beraksi.
“Saya selalu tengok Aiman berlatih di Genting Sempah, dia sangat hebat dan menjadi idola saya.
“Harap satu hari nanti saya dapat menjadi sepertinya, mana tahu selepas ini saya pula yang beraksi dalam LTdL,” kata Nor Farihin yang kerap menyertai perlumbaan basikal atas tiket individu.
Selain Nor Farihin, tujuh lagi rakannya yang berusia di antara 14 hingga 17 tahun turut berbasikal dari Ampang ke KLCC untuk menonton LTdL.
Bagi kesemua remaja ini, LTdL adalah perlumbaan besar yang tidak harus dilepaskan apatah lagi ini peluang terbaik mereka untuk melihat aksi pelumba kelas dunia.
“LTdL perlumbaan yang amat prestij, jadi tiap-tiap tahun saya tidak akan lepaskan peluang untuk menonton setiap kali ia masuk Kuala Lumpur.
“Memang impian saya untuk mewakili negara. Saya pernah masuk pertandingan tapi belum ada rezeki pergi ke peringkat lebih jauh,” kata Mohd. Afif Kamarizuan yang meminti jaguh trek Malaysia, Azizulhasni Awang.
- Advertisement -