Oleh Muhammad Aiman
Pendahulu 100PLUS Liga Premier, Negeri Sembilan terlepas peluang mengutip mata penuh buat kali ketiga dalam empat perlawanan terakhir apabila sekadar seri 1-1 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Proton, Tanjung Malim.
ATM yang tergelincir ke tangga kesebelas liga gara-gara dipotong enam mata oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership baru-baru ini tidak membenarkan isu itu menganggu prestasi mereka dan berada di depan pada minit ke-47 menerusi jaringan pemain senior, Venice Elphi.
Hasrat ATm melakar kejutan tidak kesampaian dan skuad hoben jang hoben bernasib baik untuk pulang dengan satu mata setelah Lee Tuck menjaringkan gol penyamaan lima minit sebelum tamat permainan.
Di sebalik keputusan seri, Negeri Sembilan masih mendahului carta dengan 28 mata – kekal dengan jurang tiga mata di takhta liga setelah pencabar terdekat Terengganu tunduk kepada Sabah tatkala Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menonjol dengan kembali merampas kedudukan kedua liga.
Di Ipoh, dua jaringan Gilberto Fortunato dan satu jaringan S.Deevan Raj memastikan PKNP mencatat kemenangan ketujuh dengan menewaskan pasukan bermasalah, MISC MIFA dan melebarkan rekod tanpa kalah kepada 10 perlawanan.
Gol tunggal buat skuad kendalian Jacob Joseph dijaringkan oleh Bodric Dimitri. Kekalahan kesepuluh buat MIFA menyaksikan mereka kekal menghuni tangga kesepuluh liga.
Di Kota Kinabalu, dua jaringan minit akhir oleh Hamran Peter (m-83) dan Masaya Jitosono (m-90) membantu Sabah melakar kejutan 2-1 ke atas semi-finalis Piala FA, Terengganu.
Terengganu bimbingan Irfan Bakti Abu Salim sebelum itu di ambang membawa pulang tiga mata menerusi jaringan K.Parthiban pada minit ke-63 justeru kekalahan menyaksikan mereka tergelincir ke tangga ketiga dengan 24 mata.
Dalam aksi lain, Kuala Lumpur memanfaatkan sepenuhnya kemelut dihadapi Perlis apabila beraksi garang untuk mencatat kemenangan 5-0 di Stadium Utama Negeri, Kangar sekaligus melonjak ke tangga keempat dengan 23 mata.
Hafiz Johar meletakkan Kuala Lumpur mendahului 1-0 pada separuh masa pertama, sebelum empat jaringan terhasil dalam tempoh 10 minit terakhir. Guilherme De Paula menjaringkan hatrik pada minit ke-80, 83 dan 90 manakala Ibrahim Shaihul menambah satu jaringan pada masa kecederaan.
Uitm FC turut mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan 4-3 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kekal di tangga kelima dengan 21 mata.
Do Dong Hyun dan Izman Solehin meletakkan Uitm mendahului 2-0 dalam tempoh 10 minit pertama sebelum PDRM bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 menerusi sentuhan Dao Bakary dan Julamri Mohamad.
Begitupun Uitm mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Dong Hyun dan Akani Sunday Wassiu di separuh masa kedua tatkala PDRM pula mendapat gol ketiga menerusi Safuwan Baharudin.
Satu lagi aksi yang berlangsung di Pasir Gudang menyaksikan tuan rumah JDT II menewaskan Kuantan FA 3-1. Jaringan Rozaimi Abdul Rahman, Syahrul Azwari dan Shahrul Shaharudin menghadiahkan JDT II kemenangan berharga yang membolehkan mereka mengukuhkan cengkaman di pertengahan liga.