Hup Wei

Peminat-peminat acara lompat tinggi mungkin sedikit hampa apabila kelibat dua atlet elit acara itu, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei sah tidak dapat disaksikan di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang berlangsung selama dua hari dari 17-18 Julai ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata Nauraj telah meminta untuk tidak disenaraikan beraksi di kejohanan yang akan turut bertindak sebagai Kejohanan Pra-Sukan SEA itu kerana terikat dengan komitmen latihan di London menjelang berlangsungnya Kejohanan Olahraga Dunia IAAF pada awal bulan depan.

“Semua atlet elit kita akan beraksi, kecuali yang mengalami kecederaan. Manakala Nauraj, dia telah meminta kelonggaran bagi membuat persiapan beraksi di Kejohanan Dunia dan menyesuaikan diri dengan keadaan di London. Jadi kita tidak mahu mengganggu fokusnya,” ujar Karim yang ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri KOM di Majlis Sukan Negara petang tadi.

Untuk rekod, Nauraj yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 2.30m adalah satu-satunya atlet negara yang akan membawa cabaran di Kejohanan Dunia IAAF yang berlangsung dari 4 – 13 Ogos.

Dia juga merupakan sandaran ‘wajib’ KOM bagi menyumbangkan pingat emas di KL2017 setelah melakukannya dua kali sebelum ini di temasya Myanmar 2013 dan Singapura 2015 – berdasarkan prestasi semasa Nauraj dijangka tidak bermasalah menepati sasaran itu.  

Seorang lagi atlet lompat tinggi, Hup Wei pula berkata dia tidak mengambil bahagian di Terbuka Malaysia kerana belum berada pada tahap kecergasan penuh dan mahu terlebih dahulu memberi tumpuan kepada proses pemulihan serta sesi latihan.

“Saya masih ada sedikit rasa sakit di bahagian buku lali, saya sedang menjalani latihan dan pemulihan di bawah pemantauan Institut Sukan Negara, tiada apa untuk dibimbangkan sebenarnya dan saya akan ambil bahagian di Terbuka Vietnam pada 26-27 Julai nanti. Itu akan menjadi kejohanan terakhir sebelum Sukan SEA,” ujar Hup Wei.

Menurut Hup Wei lagi, dia ketika ini konsisten dalam melakukan lompatan  melebihi 2.20m dan mensasarkan mahu mengatasi catatan terbaiknya tahun ini iaitu 2.24m di Sukan SEA nanti.

Sementara itu, KOM pada Sabtu turut menyampaikan insentif berjumlah keseluruhan RM35,000 kepada beberapa atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan sepanjang tahun ini antaranya Irfan Shamsudin (lempar cakera), Zaidatul Husniah Zulkifli (100m), Jackie Wong (tukul besi) dan kuartet 4×100 wanita. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -