nazmi.8mansor

Oleh Muhammad Aiman

Kontroversi dan layangan kad merah ibarat sudah sinonim dengan Nazmi Faiz Mansor.

Nama pemain tengah Selangor itu sekali lagi menjadi tumpuan bagi sebab yang tidak sepatutnya setelah dilayangkan kad merah gara-gara menyiku pemain import PDRM, Andre Francisco ketika perlawanan di antara Selangor dan PDRM yang berkesudahan seri tanpa jaringan pada 23 April.

Ini adalah kali ketiga dalam tempoh kurang setahun pemain berusia 21 tahun itu menerima perintah keluar padang, satu rekod disiplin buruk yang mungkin belum pernah dilakar oleh mana-mana pemain Liga Malaysia sebelum ini sekaligus membawa kepada imej ā€˜budak jahatā€™ persis Joey Barton di England.

Dia sudah berulang kali dinasihatkan, berulang kali meminta maaf, tetapi adakah pemain itu belajar dari pengalaman serta kesilapan lalu? Pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan turut kecewa dengan insiden terbaru membabitkan Nazmi Faiz dan meminta pemain itu supaya lebih tenang dan matang di atas padang.

ā€œDia perlu lebih bijak kawal diri dan tidak meletakkan pasukan dalam keadaan tertekan, amat penting untuk dia sedari bahawa layangan kad merah membebankan pasukan dan perlu mendisiplinkan diri di atas padang. Saya harap ini kali terakhir dia dapat kad merah,ā€ tegas Zainal.

Sejarah kad merah Nazmi bermula sejak dia berusia 17 tahun lagi apabila dia menumbuk kapten pasukan Qatar B-22 tahun, Abdelkarim Hassan Fadlala dalam aksi persahabatan bersama B-22 kebangsaan di Stadium Shah Alam pada Jun 2012.

Datuk Ong Kim Swee yang merupakan jurulatih skuad B-22 kebangsaan ketika itu telah menasihatkannya agar bijak mengawal emosi dan bertindak lebih professional malah Nazmi sendiri telah berjanji akan mengubah atitudnya menjadi lebih baik.

Dua tahun sunyi dari sebarang kontroversi berat, pemain yang pernah berkelana di Portugal itu bagaimanapun kembali buat hal apabila dilayangkan kad merah ketika aksi pembukaan Sukan SEA Singapura 2015 setelah meludah pemain Timor Leste, Filipe Oliviera.Ā 

Dia yang pada awalnya digantung dua perlawanan, kemudiannya terpaksa melupakan terus baki aksi Sukan Sea dan dihantar pulang awal setelah Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bolasepak Asia memutuskan untuk mengenakan penggantungan enam perlawanan ke atasnya.

Nazmi disifatkan telah mencemar imej negara oleh ketua kontinjen Sukan SEA ketika itu, Datuk Mohd Norza Zakaria dan sekali lagi, pemain itu berjanji mengubah sikapnya namun mengulangi perbuatannya selang tiga bulan kemudian ketika aksi Liga Super antara Selangor dan Kelantan.

Nazmi dilayangkan kad merah oleh pengadil Shuhaizi Shukri kerana meludah pemain import Kelantan, Erwin Carrillo dan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia menjatuhkan hukuman gantung enam perlawanan serta memberikannya amaran keras untuk berkelakuan baik.

Dengan usianya yang masih muda, perjalanan karier Nazmi masih panjang. Dia memiliki potensi dan masa depan yang cerah justeru adalah penting untuk dia membuang jauh sikap ego atau segala atitud buruk, belajar dari kesilapan dan fokus dalam membentuk diri menjadi pemain professional yang lebih berjaya.

Semoga ini menjadi kali terakhir nama Nazmi menjadi bualan untuk sebab yang tidak sepatutnya. Ā 

- Advertisement -