ATLET Sabah, Nevern Netaneel Marcellinus mengutip emas peribadi kedua buat dirinya dan Sabah apabila memenangi permainan Master Lelaki di Sunway Mega Lane dalam saingan terakhir bowling Sukan Malaysia ke-20 (Sukma XX) hari ini.

Dalam permainan akhir itu, Nevern menewaskan pemain Wilayah Persekutuan, Muhammad Hazim Alihanafiah 2-0, dengan 247-217 dan 257-247.

Pada separuh akhir, Nevern yang memenangi emas Singles Lelaki pada hari pertama acara bowling, menundukkan pemain Sarawak Abang Afiq Yazid Abang Azman manakala Muhammad Hazim menyingkirkan pemain Johor, Airil Amri Suhaimi.

Sementara itu, atlet wanita Pahang, Nur Syafiqah Nabihah Azudin memastikan emas tunggal dari gelanggang bowling apabila memenangi saingan Master wanita, menewaskan lawan dari Wilayah Persekutuan, Durriyah Ibrahim, 2-0.

Nur Syafiqah memenangi permainan denganΒ  223-205 dan 203-175, sekali gus meletakkan nama Pahang dalam senarai emas pada temasya kali ini.

Nur Syafiqah menewaskan lawan dari Terengganu, Nur Saadah Mohd Zamri manakala Durriyah menundukkan pemain Sarawah, Nur HazirahRamli di separuh akhir.

Dengan berakhirnya acara bowling, Sarawak ternyata unggul pada temasya Sukma XX ini dengan merangkul 4 emas, diikuti Sabah dan Wilayah Persekutuan (2 emas) manakala Pulau Pinang, Perak dan Pahang masing-masing dengan satu emas.

- Advertisement -