Ia nyata hari bersejarah buat bolasepak Malaysia.

Beberapa jam selepas Dato’ Hamidin Mohd Amin melakar sejarah apabila dipilih sebagai presiden pertama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari kalangan ‘orang biasa’, skuad bawah 19 tahun negara pula mencipta sejarah muncul juara Kejuaraan B-19 AFF buat pertama kali.

Pasukan bimbingan Bojan Hodak itu bangkit daripada ketinggalan satu gol di separuh masa pertama untuk mencatat kemenangan bergaya  4-3 ke atas Myanmar dalam aksi final pada Sabtu. 

Pada perlawanan yang turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Stadium Gelora Delta Sidoarjo itu, Malaysia membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi rembatan lencong cantik Awang Muhammad Faiz Hazziq.

Pemain tengah Kelantan Nik Akif Syahiran Nik Mat kemudiannya merembat masuk hantaran Muhammad Nurfais Johari pada minit ke-18 menewaskan Zin Nyi Nyi Aung di gawang Myanmar untuk Malaysia mendahului 2-0.

Begitupun, Myanmar menyentap kegembiraan Malaysia apabila bangkit menjaringkan tiga gol dalam tempoh tujuh minit untuk mendahului 3-2 di separuh masa pertama.

Gol pertama Myanmar yang pernah muncul juara pada 2003 dan 2005 dijaringkan Win Naing Tun pada minit ke-24 dan mereka mengikat kedudukan 2-2 selang tiga minit kemudian menerusi sentuhan kapten pasukan Myat Kaung Khant.

Kaung Khant menjaringkan gol ketiga Myanmar apabila sepakan sudutnya gagal dibaca Muhammad Azri Abdul Ghani dan terus menerjah jaring pada minit ke-31.

Kerja keras Malaysia memburu gol penyamaan berhasil apabila Shivan merembat masuk dari jarak dekat hasil situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti dan pada ketika perlawanan dilihat menuju seri dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti, Nik Akif muncul wira dengan meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma cantik.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini adalah muncul naib juara sebanyak lima kali pada 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.

Sementara itu, tuan rumah Indonesia menewaskan Thailand 2-1 untuk menamatkan saingan di tempat ketiga. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -