Pemain tengah Kelantan Nik Akif Syahiran Nik Mat berharap rakan sepasukan beraksi lebih tenang berdepan Johor Darul Ta’zim II ( JDT II ) dalam aksi terakhir peringkat kumpulan A Challenge Cup 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang esok.

Kelantan ketika ini mengutip tiga mata di tangga kedua dengan JDT II unggul di kedudukan teratas dengan enam mata manakala Sarawak di tangga tercorot.

Mahu atau tidak, Kelantan perlu memastikan kemenangan berpihak kepada mereka untuk memastikan kedudukan lebih selesa bagi mara ke separuh akhir.

Justeru, Nik Akif menyifatkan disiplin dan ketenangan di atas padang pasti menjadi kunci
untuk mereka menguasai perlawanan sekali gus meraih kemenangan berharga.

“Persiapan ketika ini saya boleh katakan cukup rapi dan kami semua sudah bersedia dengan segala perancangan yang telah diatur oleh jurulatih (Yusri Che Lah).

“Memang kita kena menang juga menentang JDT II kerana Kelantan dan Sarawak masing-masing raih tiga mata setakat ini dan macam-macam boleh berlaku.

“Apa yang penting, kita tidak boleh terlalu ghairah atau gopoh kerana itu boleh membuka ruang kepada lawan untuk atasi kita dan pasukan seharusnya beraksi dengan tenang untuk pastikan setiap peluang digunakan secukupnya”, jelasnya.

Sementara itu, Kapten pasukan JDT II, Mohd Shakir Shaari pula menganggap perlawanan menentang Kelantan ini tidak boleh dipandang enteng kerana sudah pasti skuad kendalian Yusri Che Lah itu akan bermain habis-habisan.

Walaupun JDT II kini gah di tangga teratas dengan dua kemenangan berturut-turut, itu tidak menjadikan mereka selesa kerana perlu menghadapi dua lagi baki perlawanan di mana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Perlawanan yang bukan mudah kerana Kelantan memiliki pemain-pemain berkualiti selain pantas di atas padang, dan mereka sememangnya inginkan kemenangan untuk aksi terakhir ini.

“Kita memang sasar untuk ke final tapi semua pemain perlu fokus perlawanan demi perlawanan terlebih dahulu dan tidak boleh padang mudah setiap lawan.

“Apa-apa pun, kita perlu cuba sebaik mungkin untuk memastikan baki dua aksi ini akan memberikan kemenangan berharga kepada JDT II untuk mara ke peringkat seterusnya,” katanya.

- Advertisement -