SAINGAN sengit membabitkan dua pencabar utama kejuaraan Negeri Sembilan dan KPT-Uniten Thunderbolts  berakhir dengan keputusan seri 1-1 sekaligus menyaksikan Negeri Sembilan terus kekal peneraju Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2022. 

Kedua-dua pasukan menduduki dua tempat teratas selepas tiga perlawanan dengan tujuh mata tetapi hanya dibezakan dengan jumlah dibezakan jumlah jaringan yang berpihak kepada Negeri Sembilan (14 jaringan berbanding 6). 

Diperkuatkan dengan pemain kebangsaan, kedua-dua Nageri Sembilan dan KPT-Uniten Thunderbolts saling mengasak dengan peratus penguasaan yang sama sepanjang 60 minit perlawanan yang sebelum terpaksa ditunda selama sejam disebabkan hujan lebat di Stadium Hoki Nasional. 

Ellya Syahirah Elias terlebih dahulu menyentap keyakinan Negeri Sembilan apabila berjaya membolosi gol lawan menerusi gerakan penalti sudut pada minit pertama. 

Negeri Sembilan bertindak balas dengan gerakan pantas untuk mengasak pertahanan Uniten Thunderbolts. Skuad bimbingan K. Rajan itu berjaya menyamakan kedudukan selepas gerakan cantik dan gol padang yang dihasilkan Surizan Awang Nor pada minit ke-5.

Memasuki minit ke-9, permainan terpaksa dihentikan sementara disebabkan hujan lebat dan sebaik disambung, kedua-dua pasukan terus mengasak dan saling menyerang tetapi buntu hinggalah ke hon penamat.  

Biar pun seri, jurulatih Negeri Sembilan K. Rajan berpuas hati dengan satu mata yang dianggap adil kerana menentang pasukan pilihan.

“Permainan agak sukar, tetapi saya tetap puas hati dengan satu mata. Berikan pemain sedikit masa…mereka sudah lama tidak bermain dan saya yakin selepas empat atau lima perlawanan, skuad ini akan stabil dan pemain muda pasti mampu menunjukkan kemampuan sebenar,” kata Rajan. 

Penjaring gol KPT Uniten Surizan Awang pula berkata cuaca hujan memberi kesan kepada kelancaran permainan kedua-dua pasukan. 

“Saya gembira dapat sempurnakan jaringan dan kutip satu mata, tetapi pada perlawanan-perlawanan seterusnya, kami mesti pastikan tiga mata penuh,” kata Surizan. 

Dalam pada itu, Sabah tidak mensia-siakan peluang mengutip mata penuh dan mengisi kedudukan ketiga liga selepas menundukkan Mutiara Impian-MSSSP skuad National Development Team (NDT) 3-1. 

Nur Syafikah Mohd Zain menambah jaringan peribadi kepada 3 gol setakat ini selepas membolosi gol NDT pada minit ke-15 sebelum Nur Hafizah Maznan dan Nor Asfarina Isahyifika Issahiddun pada minit ke-44. 

Selepas tewas dua perlawanan sebelum ini, Sarawak Ladies memastikan kemenangan pertama apabila melakar kejayaan tipis menumpaskan Mutiara Impian-MSSPP-PSHA 1-0. 

Saingan wanita diteruskan Jumaat ini dengan Negeri Sembilan menentang  NDT, KPT-Uniten Thunderbolts manakala Sabah berdepan Mutiara Impian MSSPP-PSHA.

- Advertisement -