Dengan baki tarikh perlumbaan selama 2 minggu, acara Tour of Peninsular 2019 menerima tajaan sebuah lagi syarikat sebagai Penaja Utama acara tersebut.

Penajaan dari Opimax Holdings Sdn Bhd merupakan jumlah penajaan terbesar setakat ini dalam membantu menguruskan acara berstatus UCI 2.1 pertama di Malaysia ini.

Dalam majlis yang sama pihak penganjur juga menyampaikan ‘mocque cheque’ jumlah sepenuhnya hadiah kemenangan Tour of Peninsular 2019 kepada Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia sejumlah RM329,500.00.

Jumlah wang ini akan dibawa dalam bentuk tunai pada hari akhir perlumbaan dan akan dibayar sepenuhnya kepada kesemua pasukan dan pelumba yang memenangi hadiah dalam setiap kategori.

Ini bukan sahaja dilihat sebagai “reward” terbesar kepada pemenang-pemenang yang menikmati hadiah kemenangan sejurus tamat kejohanan, tetapi juga bagi memberikan satu implikasi dan persepsi yang sangat positif untuk menarik minat pasukan-pasukan besar untuk menyertai acara ini di masa akan datang.

Pihak Kementerian Belia dan Sukan dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia juga seharusnya sama-sama menarik nafas lega kerana tidak perlu memikirkan sebarang isu pembayaran wang hadiah yang sekian lama membelenggu acara-acara sukan berbasikal sebelum ini.

Presiden PKBM Datuk Haji Abu Samah Abdul Wahab berkata ”usaha Motoshoot Event ini patut dicontohi acara-acara sukan berbasikal lain kerana ini dapat meningkatkan kepercayaan kepada pasukan-pasukan utama dunia datang ke Malaysia pada masa akan datang”.

“ Usaha ini juga dapat mencantas persepsi negatif acara berbasikal yang sentiasa dikaitkan dengan hutang hadiah kemenangan” tambah beliau lagi.

Pihak penganjur Motoshoot Event Sdn Bhd pada masa yang sama, menyampaikan kontrak tugasan kepada kesemua kontraktor-kontraktor yang membantu penganjuran acara Tour of Peninsular 2019 dengan turut menyiapkan pembayaran sekurang-kurangnya 80 (lapan puluh) peratus dari kontrak mereka sebelum perlumbaan bermula.

Ini bagi menghargai mereka yang bersama-sama penganjur dari awal persiapan dan memastikan kesemua kontraktor terlibat menjalankan tugas mereka dengan lancar tampa apa-apa kekangan kewangan.

Pengerusi Eksekutif Motoshoot Event Sdn Bhd, Dato’ Haji Muhd Opandi Che Wook menegaskan “Selain bersyukur dengan mendapat penajaan besar walaupun dalam waktu yang singkat, pihak penganjur mengucapkan penghargaan kepada semua pihak penaja lain yang telah menaruh minat tetapi tidak dapat Bersama-sama kita untuk edisi ulung ini disebabkan kekangan masa.

“Kami juga mengucap tahniah kepada semua kontraktor yang terpilih dan sanggup berkerjasama dan memberi khidmat kepada saya.”

Kejohanan berbasikal Tour of Peninsular 2019 bakal mewarnai kalendar berbasikal negara dengan acara berstatus UCI2.1 dan akan bermula dari 15-19 Oktober 2019.

- Advertisement -