tampines.sgor

Oleh Muhammad Aiman

“Saya agak terkilan sebab kita tewas dengan gol mudah. Kita tidak menekan lawan ketika kedudukan masih terikat, bila sudah ketinggalan baru mula mengasak mencari gol penyamaan, dan apabila gagal mencari penyudah, ia memberi tekanan kepada kami.”

Demikian reaksi pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan setelah pasukannya tunduk 0-1 kepada kelab Singapura Tampines Rovers pada perlawanan terakhir Kumpulan E seterusnya ditunjukkan jalan keluar dari saingan Piala AFC.

Turun beraksi di Stadium Nasional Kallang, Selangor hanya memerlukan keputusan seri untuk merebut satu lagi slot beraksi di pusingan kedua dan jelas, mereka dilihat cukup selesa dengan ‘kelebihan’ itu dan tidak menunjukkan kesungguhan mahupun determinasi untuk pulang dengan tiga mata. 

Tampines yang dikendalikan bekas jurulatih Lions XII, V.Sundramoorthy sebaliknya memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan gerakan-gerakan yang berbahaya dan mendapat gol tunggal menerusi Yasir Hanafi pada minit ke-31.

Cubaan Selangor mencari gol penyamaan di babak kedua menerusi rangkaian barisan serangan diketuai Patrick Ronaldinho Wleh dan Mauro Olivi bagaimanapun dilihat sudah terlewat tatkala Tampines utuh mempertahankan kelebihan satu gol sehingga wisel penamat.

Tiga mata yang diraih menyaksikan Tampines mara ke pusingan kedua dengan mengutip 10 mata, muncul naib juara di belakang Cerres La Salle FC dari Filipina yang mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan dengan membelasah kelab Bangladesh, Sheikh Jamal Danmondi FC 5-0.

Ini adalah kali kedua Selangor kecewa di tangan pasukan dari Singapura dalam tempoh empat hari – Sabtu lalu, Pilihan Selangor yang dibimbing Zainal tunduk menerusi sepakan penalti kepada Pilihan Singapura dalam aksi Piala Sultan Selangor sekaligus menyaksikan piala itu ke seberang tambak buat pertama kali selepas empat tahun.

Kekalahan Selangor juga bermakna kini tinggal hanya juara bertahan Johor Darul Takzim selaku wakil tunggal Malaysia di Piala AFC.

JDT sudahpun mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua setelah mencatat lima kemenangan berturut-turut dan akan menamatkan aksi terakhir Kumpulan H dengan menentang Bengaluru FC di Larkin, malam ini.

- Advertisement -