Oleh Muhammad Aiman

Pahang yakin mereka punyai ramuan untuk menumbangkan penyandang juara, Johor Darul Takzim apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.

Bukan mahu mendabik dada namun berdasarkan prestasi semasa, pengendali Pahang, Dollah Salleh percaya barisan pemainnya sudah bersedia untuk meneruskan prestasi cemerlang yang ditunjukkan musim ini terutamanya di laman sendiri.

“Memang kedua-dua pasukan ada kelebihan masing-masing. JDT mungkin dianggap sebagai pilihan kerana mereka juara bertahan dan reputasi hebat mereka tetapi kami tidak akan memberi laluan mudah dan mahu mengekalkan momentum yang telah tercipta. 

“Kita akan bermain di gelanggang sendiri, di hadapan sokongan penyokong sendiri yang akan memberikan lebih semangat kepada pemain. Malah pemain-pemain cukup bermotivasi kerana memang kita sasarkan untuk melangkah jauh dalam Piala FA. Kita tidak mahu terlalu yakin, tetapi pemain-pemain sudah bersedia untuk menghadapi cabaran getir ini.”  

Pahang mara ke suku akhir setelah mengetepikan JDT II di pusingan kedua dan Melaka United di pusingan ketiga manakala JDT bimbingan Benjamin Mora pula mara setelah menyingkirkan Felda United dan kemudiannya UITM FC.

Ini adalah kali keempat dalam tempoh lima musim terakhir Pahang dan JDT dipertemukan dalam saingan Piala FA selepas 2013, 2014 dan 2015 dengan kedua-dua pasukan mempunyai rekod seimbang.

Ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin awal bulan Mac tempoh hari, JDT bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 dan Dollah berharap pemainnya sudah belajar dari kesilapan lalu.

“Tempoh rehat panjang ini juga telah saya gunakan untuk memperbaiki lagi kelemahan-kelemahan yang ada. JDT sebuah pasukan yang kuat, tetapi saya sentiasa ingatkan pemain saya agar tidak terlalu menghormati mereka. Jangan gentar dan manfaatkan sebaiknya setiap peluang,” ujar Dollah.

Selain pertemuan Pahang dan JDT, turut berlangsung pada Sabtu adalah perlawanan di antara Sabah menentang Negeri Sembilan, Kedah dan PKNP serta Terengganu menentang Sarawak.

- Advertisement -