Oleh Muhammad Aiman

Dua pasukan berbelanja besar, Pahang dan Perak meneruskan permulaan cemerlang apabila masing-masing mencatat kemenangan kedua dalam aksi ketiga Liga Super yang berlangsung pada Sabtu.

Pahang kekal di kedudukan teratas liga setelah menundukkan tuan rumah Sarawak 1-0 dalam aksi berlangsung di Stadium Kuching, dengan gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Chinedu Bright Dike pada minit ke-25.

Kemenangan membolehkan Pahang bimbingan Dollah Salleh mengumpul tujuh mata, mengatasi pasukan tangga kedua Perak yang mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Melaka menerusi beza jaringan.

Di Ipoh, skuad bimbingan Karl Heinz Weigang mengecewakan harapan Melaka United membawa pulang satu mata apabila beroleh gol kemenangan pada masa kecederaan perlawanan menerusi Vladislav Mitkov Mirchev.

Kekalahan itu nyata hadir sebagai kekecewaan besar buat skuad bimbingan Eric Williams yang sebelum itu bekerja keras untuk dua kali bangkit daripada ketinggalan kepada jaringan Thiago Junior (m-31) dan Yashir Pinto (m-64) untuk mengikat kedudukan 2-2 menerusi Jeon Woo Young (m-43) dan Izzaq Faris Ramlan (m-79).

Aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pula menyaksikan jaringan Hadin Azman di separuh masa kedua membantu tuan rumah Felda United bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang juara Piala Malaysia, Kedah.

Hadin tenang menyempurnakan hantaran Zahrahan Krangar selepas memperdayakan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim pada minit ke-58 – skuad The Fighters bimbingan Azmi Mohamed terlebih dahulu ketinggalan kepada Lang Merah hasil jaringan Ken Ilso Larsen di pertengahan separuh masa pertama. 

Satu mata yang diraih menyaksikan Kedah kendalian Tan Cheng Hoe berada di tangga ketiga dengan lima mata dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah manakala Felda United berada di tangga keenam liga dengan empat mata.

“Ia satu keputusan yang adil memandangkan kita beraksi di gelanggang lawan dan kedua-dua pasukan menunjukkan tempo permainan tinggi, bermain corak menyerang pantas dan masing-masing mempunyai peluang menjaringkan gol. Saya berpuas hati dengan satu mata yang diraih ini,” ujar Cheng Hoe.

Dalam pada itu, aksi di Kuala Terengganu menyaksikan T-Team terus menambah derita Pulau Pinang apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan pemain import, Mahamadou Samassa pada minit ke-70.

Ia adalah kemenangan pertama buat skuad Rahmad Dermawan manakala buat sang Harimau Kumbang kendalian Ashley Westwood, ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut setelah terdahulu kecundang kepada Selangor dan Perak.

Tiga mata yang diraih menyaksikan T-Team melonjak ke tangga ketujuh manakala Pulau Pinang kekal di tangga tercorot.

- Advertisement -