Pahang Rangers mencatat kemenangan dramatik 4-3 ke atas Selangor MAC,  dalam aksi separuh akhir pertama Malaysian Premier Futsal League (MPFL)   2023 di Stadium Tertutup SUKPA pada Sabtu.  
Kemenangan membolehkan skuad Gerard Casas meraih bekalan satu gol untuk aksi timbal balik di Kompleks Sukan Panasonic pada 29 Julai nanti.  
Dalam aksi berbalas jaringan menarik dan menghiburkan di hadapan lebih 3,000 penyokong, ianya Selangor MAC yang terlebih dahulu di depan pada minit ke-14 menerusi penyudah kapten pasukan Fariq Mohamad.  
Namun kelebihan itu hanya bertahan dua minit, apabila bintang muda meningkat naik Mahadir Harahap menyempurnakan umpanan Farhan Khairul Anuar untuk gol penyamaan yang sekaligus membuatkan stadium bergema dengan sorakan. 
Tonggak import dari Brazil,  Sergio Jamur kemudiannya melakukan rembatan padu yang menewaskan Syawal Sabaruddin di gawang Selangor MAC sekaligus memastikan kelebihan 2-1 buat tuan rumah di separuh masa pertama.  
Lima minit bersambung babak kedua, penjaring terbanyak MPFL 2023 Ali Ebrahimi menjadikan kedudukan 2-2 namun belum sempat Selangor MAC bergembira, pemain kebangsaan Ridhwan Bakri kembali meletakkan Pahang Rangers di depan 3-2 seminit kemudian.  
Matheus Silva kemudiannya mengikat kedudukan 3-3 setelah percubaan cantiknya gagal diselamatkan Zainulzahin Sinuan pada minit ke-28. 
Dengan kedua-dua pasukan saling menyerang, perlawanan bertambah rancak dan Selangor MAC menerima tamparan hebat apabila kehilangan khidmat Ebrahimi yang dilayangkan kad merah pada minit ke-29. 
Pahang Rangers mrngambil alih dominasi dengan melancarkan serangan bertali arus selepas itu dan Selangor MAC seharusnya berterima kasih kepada ketangkasan Syawal yang memastikan mereka terus kekal dalam permainan.  
Minit ke-34, Jamur melepaskan rembatan cantik yang mengenai palang dan melantun masuk ke dalam gawang, dan jaringan itu kekal menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan. 
“Ia perlawanan yang sangat sengit dan mendebarkan, suasana pada hari ini sangat berbeza berbanding aksi sebelumnya. Sorakan hebat penyokong membantu kami bangkit, pemain menunjukkan kekuatan mentaliti dan berjaya memenangi perlawanan.  
“Tetapi ini bukan masa untuk kami bergembira,  kerana kelebihan satu gol sangatlah tidak selamat. Selangor akan cuba memanfaatkan kelebihan bermain di Shah Alam untuk bangkit, kita perlu gunakan masa yang ada untuk melihat dan membetulkan kesilapan. 
“Lagipun, kita sedar Selangor berjaya membawa pulang tiga jaringan di tempat lawan yang pastinya satu kelebihan besar buat mereka tetapi kami berjanji tidak akan leka dan memastikan sasaran final dapat direalisasikan,” ujar Saifulnizam Md Ali yang mengalas tanggungjawab kapten berikutan ketiadaan Akmarulnizam Idris yang cedera.”
- Advertisement -