Ketiadaan beberapa tonggak utama termasuk pemain bawah 23 tahun yang akan menggalas tugas di Sukan Asia Ogos depan tidak merencatkan persiapan juara Liga Super lima kali, Johor Darul Takzim untuk mengharungi saingan Piala Malaysia akan datang.

Pemain pemain yang ada tampak mampu untuk mengisi kekosongan sekaligus menggenggam misi mempertahankan piala yang dimenangi tahun lalu.

Jelas Raul Longhi, antara pemain pemain yang hampir pasti tidak akan beraksi di Piala Malaysia antaranya Safawi Rashid, Syafiq Ahmad, Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin dan Syamer Kutty Abba.

“Kami ada ramai pemain yang boleh mengisi kekosongan yang ada. Matlamat kami adalah untuk memenangi perlawanan pertama.

“Walaupun tanpa pemain pemain muda yang akan beraksi untuk skuad kebangsaan, ia bukan masalah untuk kami,”kata Raul kepada media tempatan.

Sepanjang ketiadaan pemain pemain ini Safiq Rahim, Nazmi Faiz, Kiko Insa dan Natxo Insa antara yang akan diberi kepercayaan oleh Raul untuk menggalas tugas sepanjang kempen Piala Malaysia nanti.

Dalam pada itu, status sebagai juara Liga Super musim 2018 dan juara bertahan Piala Malaysia bukan tugas mudah kerana pastinya pasukan pasukan lain akan memburu kemenangan ke atas JDT kelak.

Justeru, JDT tidak akan memandang rendah pasukan pasukan dan akan memastikan kemenangan berjaya diraih disetiap perlawanan yang diharungi.

- Advertisement -