Oleh Muhammad Aiman

Langkahan Jeonsa FC dalam saingan Piala FA (FAS) 2017 tersekat di peringkat suku akhir setelah tewas kepada juara bertahan, NPNG 0-1 di Stadium UKM, pada Sabtu.

Ketua jurulatih Jeonsa, Kamal Daut berkata kekalahan kepada NPNG diterima dengan terbuka kerana pasukan itu sememangnya dianggap sebagai pilihan mutlak apatah lagi mereka dibarisi pemain berpengalaman malah turut merupakan juara bertahan Liga Super Selangor manakala Jeonsa rata-ratanya pemain muda berusia belasan tahun.

Namun yang membuatkan Kamal terkilan adalah mutu pengadilan teruk bertaraf ‘kampung’ oleh pengadil, Mohd Saifulhazrul.

Kegagalan Saifulhazrul menjalankan tanggungjawab dengan baik dilihat antara punca kekalahan Jeonsa meskipun tampil bertenaga menguasai perlawanan di babak kedua.

“Pemain saya telah berikan tentangan sengit, tapi kita tewas. Keputusan perlawanan itu tidak mengecewakan, yang saya tidak berpuas hati adalah keputusan-keputusan pengadil, terlalu banyak keputusan tidak tepat.

“Pengadilan begitu berat sebelah, dan banyak kekasaran ke atas pemain kami tidak diendahkan. Kami dinafikan sekurang-kurangnya dua penalti yang jelas, satu di separuh masa pertama, dan kedua ketika penghujung perlawanan. Kami tidak kisah untuk tewas, itu adat permainan, tetapi tewas gara-gara kualiti pengadilan buruk seperti ini sangat-sangat mengecewakan.

“Pengadil seperti ini merosakkan kualiti sesebuah perlawanan dan semangat juang para pemain, tetapi saya bangga kerana pemain saya tetap bersikap professional dan menunjukkan kematangan,” kata Kamal.

Pada perlawanan itu, NPNG yang dibarisi beberapa bekas pemain Liga Malaysia mendapat jaringan kemenangan pada minit ke-36 menerusi sentuhan bekas pemain Kuala Lumpur, Badrul Hisham Azmi.

Kekalahan ini bermakna Jeonsa selepas ini akan kembali fokus kepada cabaran dalam saingan Liga Premier Selangor. Mereka ketika ini berada di tangga kedua Kumpulan C hasil dua kemenangan dari dua perlawanan, ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, UITM FC. 

- Advertisement -