jm2016-1

Oleh Ku Mohd Lufti

Perlumbaan jelajah berbasikal tertua di Asia Tenggara, Jelajah Malaysia 2016 yang melabuhkan tirainya sabtu lalu di Kuala Terengganu pastinya meninggalkan kenangan manis khususnya buat pasukan Pishgaman Giant yang meraih dua jersi utama.

Arvin Moazami Goudarzi merangkul jersi kuning manakala Amir Kolahdouz Hagh dinobat Raja Bukit (jersi Polka Dot).

Hakikatnya, skrip penganjuran tidak banyak berubah, malah dipalit dengan pelbagai cerita yang ‘panas’ serta janji manis.

Ketika pelancaran, penganjur, Peloton Resources Sdn Bhd mengesahkan, tiada isu besar yang akan timbul khususnya melibatkan hal hal kewangan.

Namun, kekalutan bermula sejak di peringkat kedua dan ia berlanjutan sehinggalah ke penghujung perlumbaan dan tampak masih belum berkesudahan.

Sebahagian besar sekretariat termasuklah Polis Di Raja Malaysia yang menjadi tunjang dalam aspek  keselamatan dan lalulintas terpaksa ‘menelan’ janji manis pihak penganjur.

Malah, ada yang mempersoalkan, adakah dana yang dikumpul seperti yang dikhabarkan sebelum ini benar benar wujud?.

Sumber dalaman yang terlibat dalam penganjuran Jelajah Malaysia 2016 mendedahkan, ada sebahagian pihak yang sudah dibayar, ada juga yang tidak mendapat sebarang bayaran, malah terpaksa menggunakan kewangan sendiri.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Peloton Resources Sdn Bhd, Musairi Musa memberi jaminan, tunggakan kewangan melibatkan kesemua pihak yang terlibat dalam Jelajah Malaysia 2016 akan diselesaikan. 

“Selepas kami kembali ke Kuala Lumpur, mereka perlu datang ke pejabat untuk menyelesaikan baki tunggakan.

“Hadiah kemenangan akan diselesaikan dalam tempoh dua bulan ke atas, kalau ada tunai sekarang, kami akan bayar segera, tetapi tidak mencukupi, saya akan cuba yang terbaik untuk langsaikan dengan cepat,” kata Musairi.

Untuk rekod, penganjuran Jelajah Malaysia memerlukan kos minima RM 200 000 termasuk jumlah untuk kemenangan bagi kategori peringkat, pemenang bagi zon pecutan dan pendakian setiap peringkat serta dan jersi jersi yang dipertandingankan dimana ia dianggarkan berjumlah RM 180 000.

Perlumbaan ini melibatkan penyertaan daripada negara negara luar, baik atau buruknya penganjuran kejohanan itu, nama Malaysia menjadi taruhan.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) perlu memastikan mana mana individu yang berhasrat untuk mengendalikan Jelajah Malaysia benar benar kukuh dari segi kewangan.

- Advertisement -