20161023-final-liga-kpm-u14-ssm-bukit-jalilwhite-vs-ssn-selangor-002

20161023-final-liga-kpm-u14-ssm-bukit-jalilwhite-vs-ssn-selangor-001

Jaringan Megat Syafique Syazwan Mohd Khairul dan Amirul Azzim Md Ruzki di separuh masa kedua memastikan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sekolah Sukan Selangor, SMK Seksyen 11 pada perlawanan akhir seterusnya muncul juara Piala Kementerian Pendidikan Malaysia (B14).

Ia melengkapkan gelaran kedua musim ini buat SSBJ, setelah menjuarai saingan Liga Super Piala KPM pada bulan lalu, dan jurulatihnya Wan Rohaimi Wan Ismail memberi kredit kepada barisan pemainnya yang disifatkan telah menunjukkan antara aksi terbaik mereka pada Ahad. 

“Saya cukup berpuas hati, mereka tampil dengan satu permainan yang benar-benar menghiburkan semua, bermain seperti yang saya kehendaki dan menunjukkan kualiti, satu permainan yang mana bagi saya matang pada usia mereka 14 tahun.

“Kita menguasai perlawanan dari mula, mencipta gerakan menarik, melakukan hantaran kemas. Mungkin juga lawan tidak menunjukkan satu permainan yang baik, tetapi cara kita memenangi perlawanan ini cukup menggembirakan saya,” kata Wan Rohaimi. 

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Mini SSTMI itu menyaksikan SSBJ mendominasi sepenuhnya perlawanan dengan mencipta beberapa serangan berbahaya menerusi gandingan Harith Naim Jaineh dan Muhammad Daniel Amali yang diberi tanggungjawab mengemudi barisan depan.

Gandingan itu nyata menjadi duri dalam daging buat pertahanan SMK Seksyen 11 apabila kerap lolos ke dalam kotak penalti, dengan peluang terbaik buat SSBJ memecah kebuntuan hadir pada minit ke-28 menerusi percubaan Danial yang hanya sedikit melewati palang.

Danial sekali lagi berpeluang mencetak nama selaku penjaring namun percubaaannya tepat ke dakapan penjaga gol SMK Seksyen 11, Amin Najmie Al Hafiz pada minit akhir separuh masa pertama. 

Bersambung separuh masa kedua, SSBJ akhirnya meruntuhkan kekebalan pertahanan SMK Seksyen 11 apabila Megat Syafique Syazwan melonjak tinggi menanduk masuk hantaran sepakan sudut pada minit ke-43, sebelum Amirul Azzim menolak masuk umpanan rakan sepasukan dari jarak dekat lima minit kemudian.

Bagi jurulatih SMK Seksyen 11, Nik Juhaisham, dia melihat kekalahan pasukannya dari sudut positif, “Kita cuba menyaingi SSBJ, dari segi fizikal mereka, teknik, skill mereka, dan terbukti kita mampu bermain bola dengan cara betul. Lima atau enam pemain saya berusia bawah 13 tahun, mungkin mereka gugup dengan suasana final seperti ini. Keinginan mereka untuk bermain itu sendiri satu perkara yang positif.”

- Advertisement -