Kurang dari seminggu sebelum pendaftaran bagi Liga Malaysia ditutup, isu melibatkan pasukan negeri Selangor masih belum menemui penyudah.

Situasi ini memaksa penyokong Red Giants untuk memohon bantuan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyelesaikan kemelut yang melanda pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Mereka menghantar memorandum untuk memohon perhatian Sultan Selangor, dimana serahan tersebut dibuat di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Memorandum dua muka surat itu diserahkan oleh Presiden Gabungan Kelab Penyokong Selangor, Mohd Faizal Wahid kepada pengawal istana, Laskar Kanan Khairul Redzuan Saamaton.

Menurut Faizal, antara kandungan memorandum itu adalah bagi memohon perkenan Sultan Selangor, untuk menitahkan Presiden FAS yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melakukan rombakan segera ke atas pengurusan persatuan tersebut.

Menerusi kenyataan daripada laman sosial, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dikhabarkan berkenan untuk menerajui FAS, sekaligus memberi satu perkhabaran gembira buat penyokong Red Giants.

Beliau turut menggesa FAS mengorak strategi bukan sahaja untuk pasukan utama tetapi juga menekankan pembangunan bola sepak dengan lebih menyeluruh mencakupi peringkat akar umbi.

Menurut Tengku Amir Shah, strategi FAS juga perlu merangkumi langkah meningkatkan mutu infrastruktur di serata negeri dan melaksanakan aspek pemasaran sukan yang komprehensif bagi memperoleh pendapatan yang mapan.

FAS sebelum ini dilaporkan menghadapi masalah dana yang menyukarkan pasukan itu menghadapi Liga Super akan datang berikutan Azmin dikatakan belum mengumumkan sebarang peruntukan kepada Red Giants.

- Advertisement -