Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19 nyata dimanfaatkan sepenuhnya pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan yang membantu perniagaan kedai makan yang diusahakan bersama ibunya di Ipoh.

Malah dia sendiri tidak keberatan melakukan servis penghantaran makanan kepada pelanggan selain pemasaran terhadap kedai makannya yang diberikan nama AN 23 Char Kuey Teow.

Tambah Azhan, walaupun AN 23 sudah dibuka sejak lima tahun lalu namun pengalaman kali ini nyata berbeza kerana terpaksa melakukan perniagaan secara pesanan sahaja kerana restoran perlu ditutup sepanjang PKP.

Namun memandangkan Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan serta tiada sesi latihan, ia membuka ruang buat Amirul memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan dalam mencari wang tambahan sepanjang tempoh PKP.

” Kedai ini dah lama dibuka iaitu sejak 2015 dan milik ibu tetapi saya menguruskan bersamanya, cuma kali ini pendekatan berbeza terpaksa diambil ekoran PKP.

” Sekarang saya sendiri kena turun padang melakukan proses mengambil pesanan daripada pelanggan serta melakukan penghantaran jika perlu dan tidak ketinggalan dalam soal pemasaran.

“Dalam tempoh PKP ini, kami memfokuskan kepada lapan menu utama sahaja berbanding 30 yang kami ada semasa restoran boleh dibuka.

” Alhamdulilah,sambutannya tetap menggalakkan biarpun dalam tempoh PKP dan adakalanya kami tidak menang tangan melayani pesanan pelanggan.

” Malah ramai juga pelanggan terdiri daripada peminat Perak yang memudahkan saya melakukan pemasaran dan diharap boleh membantu saya daripada segi jualan, ” katanya.

Selain char kuey teow yang menjadi menu utama Restoran AN 23, tarikan yang lain ialah seperti nasi goreng kampung , nasi goreng cendawan , nasi goreng pataya banjir , nasi goreng chicken chop , nasi lemak pandan ayam dan mee kari.

Amirul yang beraksi selaku pertahanan kanan merupakan salah seorang tunjang kekuatan Perak sejak 2016 dan pernah menganggotai skuad kebangsaan sekitar tahun 2017 dan 2018.

Dalam pada itu, Amirul mengakui perancangannya membuka kedai makan adalah salah satu strategi jangka panjang memikirkan masa hadapan sekiranya sudah menggantung but.

Baginya, apa yang terjadi dalam tempoh PKP ini memberikan lagi kesedaran buat dirinya bahawa tiada apa terjamin dalam dunia bola sepak.

“Selepas minggu pertama PKP, rasa terduduk sekejap dan seolah-olah tidak percaya dengan apa yang terjadi apabila liga kita terpaksa ditangguhkan.

“Sekarang saya makin tersedar yang kena ada pelbagai perancangan jika perkara seperti ini terjadi lagi.

” Malah karier dalam bola sepak pun tiada apa yang boleh dijadikan jaminan dan sebagai pemain, kena sentiasa bersiap sedia dengan apa kemungkinan jika kita sudah tidak dimahukan jurulatih pada satu masa nanti,” katanya yang masih melakukan latihan seperti biasa di rumah bagi mengekalkan kecergasan.

- Advertisement -