Setelah berakhir aksi peringkat kumpulan Piala Emas Raja-Raja 2017 pada minggu lalu yang menyaksikan tersingkirnya juara bertahan Pahang, tinggal lapan pasukan akan meneruskan cabaran di pusingan suku akhir.
Tiga perlawanan akan berlangsung pada Sabtu ini dengan Selangor akan melayan kunjungan Perlis di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam; Putrajaya FC bertemu Pulau Pinang di Stadium MMU Cyberjaya dan Kelantan menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu.
Manakala satu lagi aksi membabitkan Kuala Lumpur menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berlangsung pada Ahad di Stadium Arena Universiti Malaya. Aksi timbal balik kesemua perlawanan peringkat suku akhir akan berlangsung pada 14 Oktober depan.
Mengimbau semula perjalanan peringkat kumpulan edisi ke-77 PERR, ianya telah berlangsung dari 20-24 September membabitkan 19 pasukan di empat venue iaitu Perlis yang merupakan tuan rumah Kumpulan A, Selangor (Kumpulan B), Kedah (Kumpulan C) dan Pulau Pinang (Kumpulan C).
Semifinalis musim lalu, Kuala Lumpur mengesahkan tempat mereka di kelompok lapan terbaik setelah mencatat kemenangan 1-0 ke atas Perlis dalam aksi terakhir sekaligus muncul juara Kumpulan A dengan lima mata. Perlis mengiringi selaku naib juara dengan empat mata.
Selangor yang gagal melepasi halangan kumpulan dua musim berturut-turut muncul juara Kumpulan B dengan sembilan mata berikutan kemenangan besar 5-1 ke atas Singapura dalam aksi terakhir manakala finalis musim lalu PDRM yang turut mengumpul sembilan mata mara selaku naib juara di sebalik kekalahan 1-3 kepada Negeri Sembilan.
Singapura juga menjadi satu-satunya pasukan yang mengakhiri cabaran di PERR 2017 tanpa sebarang mata setelah tewas kesemua perlawanan.
Putrajaya FC pula mencuri tumpuan apabila mara ke suku akhir dengan mengetepikan tiga bekas juara – Pahang, Terengganu dan Kedah. Putrajaya muncul juara Kumpulan C menerusi beza jaringan ke atas Felda United setelah kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata.
Juara 2010 Kelantan pula mengungguli Kumpulan D dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri, mereka diiringi Pulau Pinang yang mara setelah menundukkan Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) 2-0 dalam aksi terakhir.
Untuk rekod, Pahang muncul juara PERR tahun lalu setelah menundukkan PDRM 6-2 dalam aksi final di Stadium Darulmakmur. – OLEH MUHAMMAD AIMAN