Perubahan jadual Liga Malaysia yang diumumkan oleh Malaysian Football League (MFL) pada Rabu lalu mengundang seribu satu senyuman pemegang taruh Liga Malaysia kerana lebih praktikal bagi memastikan pemain mendapat waktu rehat secukupnya untuk beraksi tiap perlawanan.

Antara yang menyambut baik perubahan jadual ini ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Asri Ninggal, yang akui tindakan MFL membuat perubahan jadual adalah tepat selepas tiada sebarang aksi membabitkan pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa bagi tahun ini.

Justeru, beliau melihat semua pasukan akan berada dalam kondisi terbaik pada baki tujuh perlawanan selain mengurangkan risiko kecederaan dalam kalangan pemain.

“ Apabila jarak perlawanan yang agak jauh, kedua-dua pasukan yang turun nanti pasti dapat tampilkan aksi lebih baik kerana pemain masing-masing mendapat rehat yang cukup.

“ Saya ambil contoh pasukan Melaka, kita akan ada perlawanan yang akan ke Sabah (perlawanan ke-9) dan selepas itu terus menuju ke Kedah(perlawanan ke-10), jadi berdasarkan jadual yang baharu ini, sememangnya ini cukup melegakan.

“ Jadi, pemain mempunyai masa rehat yang cukup dan jurulatih juga boleh melakukan persiapan yang lebih baik kerana tujuh perlawanan akan datang ini cukup getir kerana akan menentukan sama ada kami boleh kekal atau tersingkir ke Liga Premier.

“ Ditambah bila pasukan kebangsaan tiada perlawanan untuk tahun ini, saya fikir penumpuan pemain juga akan lebih baik dengan pasukan masing-masing serta membantu ketua jurulatih melakukan persiapan secukupnya, ” katanya.

Selain itu, Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin, menerima keputusan itu dengan penuh positif memandangkan
tanpa sebarang aksi kompetitif selama lima bulan, sememangnya pemain boleh berdepan risiko kecederaan jika liga terlalu padat.

Jelasnya, jadual perlawanan yang membabitkan hanya sekali pada setiap minggu akan membantu pemain kembali menyesuaikan diri meraih kecergasan yang diperlukan bagi hadapi perlawanan yang kompetitif.

“ Kita tahu tempoh masa ketika liga diberhentikan pada Mac lalu sehingga Ogos, adalah satu tempoh yang cukup panjang, jadi perubahan jadual ini memang bersesuaian kepada semua pemain yang telah lama berehat.

“ Sudah tentu kita tidak mahu pemain mudah mendapat kecederaan jika bermain pada pertengahan minggu dan hujung minggu, jadi jadual yang baharu ini memang bersesuaian untuk pemain perlahan-lahan mendapat rentak, ” katanya.

MFL menerusi Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-22 pada Rabu telah membuat keputusan meminda tarikh mula Liga Malaysia pada 28 Ogos selepas mengambil kira faktor penundaan tarikh pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan, penetapan tarikh itu tertakluk kepada tarikh perlawanan peringkat domestik, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

- Advertisement -