Seperti tradisi penuh warna-warninya, pasukan ProTour Drone Harper-Androni Giacattoli akan cuba meneruskan kecemerlangannya apabila edisi ke-26 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2022 bermula, 11 Oktober depan.

Pengurus pasukannya, Gianni Savio berkata, untuk menghadapi cabaran yang lebih getir dan mencabar tahun ini, pasukan yang dianggap ‘setia’ bersama sejarah LTdL sejak penampilan kali pertama pada 2000 itu hadir dengan kombinasi pelumba berpengalaman dan pelumba muda.

“Kami sentiasa memandang tinggi dan sedar betapa besarnya LTdL di Asia dan Malaysia. Dan selepas setahun tidak dapat dianjurkan, kami gembira untuk datang dan bersaing sekali lagi di negara ini,” kata Savio kepada Jabatan Media LTdL 2022.

Diketuai pelumba berpengalaman berusia 31 tahun dari Argentina, Eduardo Sepulveda, Savio berharap barisan enam pelumbanya akan mampu memberi saingan dalam perebutan jersi kuning individu keseluruhan (GC).

Sepulveda, 31, adalah bekas pelumba Movistar yang mula menyertai pasukan itu tahun lalu dan turut menyerlah awal tahun ini apabila menduduki tangga kedua Raja Bukit dan ketiga individu keseluruhan di Presidential Cycling Tour of Turkiye.

Seorang lagi pelumba berpengalaman yang dibawa adalah Alessandro Bisolti, pelumba serba boleh berusia 37 kelahiran Gavardo, Itali yang akan membantu di laluan mendaki dan menjadi pembantu kepada pakar pecut Eduard-Michael Grosu di laluan landai.

Seperti Bisolti yang pernah berkayuh empat kali di Giro d’Italia dan menyertai banyak pasukan terkemuka seperti Tinkoff Credit System, CSF Navigare, Farnese Vini dan menyertai Androni pada 2018, Grosu juga berpengalaman luas bersama pasukan Nippo Delko One Provence dan berada dalam kondisi terbaik ketika ini.

“Kami menyertai Tour of Romania dua minggu lalu dan Grosu memenangi satu peringkat dan menjuarai kutipan mata Raja Pecut di jelajah itu,” kata Savio lagi.

Grosu, 30, kelahiran Zarnesti, Romania bukanlah muka baru dalam jelajah di benua Asia kerana dia mengumpul enam kemenangan peringkat di Tour of Qinghai Lake, China.

Tiga pelumba muda yang turut dibawa kali ini adalah pelumba kelahiran Montevarchi, Itali, Gabrielle Benedetti, 22, yang sering berlumba di Eropah termasuk Tour of Sicilia, Sirkit Sarthe-Pays de la Loire dan Tour de Limousin.

Pelumba kelahiran Colombia, Didier Noberto Merchan Cardona, 23, pernah memenangi jersi kuning Vuelta a Antioquia, tangga ketiga keseluruhan Vuelta a Tachira dan pernah menang satu peringkat di jelajah itu, dijangka akan memperkuatkan kedudukan keseluruhan berpasukan di laluan mendaki.

Seorang lagi pelumba Colombia yang dibawa adalah Brandon Alejandro Rojas, 20, pelumba muda yang berkebolehan dalam pecutan dan menimba pengalaman awal bersama Androni di Classica de Almeira, Presidential Cycling Tour of Turkiye dan GP Industria awal tahun ini.

Muncul dengan nama Aguardiente Nectar-Selle Italia pada di LTdL 2000, pasukan yang ditubuhkan pada 1996 ini mengutip kemenangan peringkat pertama menerusi Jamie Drew, dan terus menjadi antara watak hebat dalam sejarah 26 tahun LTdL apabila mengumpul koleksi enam kemenangan jersi kuning menerusi Hernan Dario Munoz pada 2002, Fredy Gonzalez (2004), Ruslan Ivanov (2008), Jose Serpa (2009 dan 2012) dan Jonathan Monsalve (2011).

Pada penampilan LTdL 2020 lalu, pelumbanya Kevin Rivera muncul pemenang di peringkat 4 pendakian sukar ke puncak Genting Highlands.

LTdL22 akan membuka tirai saingan dengan Peringkat 1 Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3km; Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (131.9km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya  (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km), membabitkan jarak keseluruhan 1,105.1km.

LTdL 2022 kali ini dianggap paling sengit dan menarik dapat disaksikan dengan penyertaan enam pasukan World Team iaitu UAE Team Emirate (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).

Empat pasukan berstatus ProTeam pula adalah Drone Harper-Androni Giocattoli (Itali), Uno X-Pro Cycling (Norway), Alpecin-Deceuninck (Belgium) dan Burgos-BH (Sepanyol).

Cabaran pasukan Continental pula diketuai dua pasukan profesional benua tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team dan Team Sapura Cycling, dua pasukan berdaftar di Indonesia iaitu Mula Cycling Team dan Roojai Cycling Team, ARA Pro Racing Sunshine Coast (Australia), China Glory Continental Cycling Team (China), ProTouch (Afrika Selatan) dan Kuwait Pro Cycling (Kuwait).

Pasukan rantau Asia lain termasuklah Thailand Continental Team (Thailand), Team UKYO (Jepun), 7-Eleven Cliqq Air (Filipina) dan pasukan kebangsaan Malaysia.

- Advertisement -