
Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan adidas hari ini melancarkan Bola Perlawanan Rasmi untuk Piala ASEAN Hyundai™ 2026 yang bermula pada 24 Julai. adidas ialah Rakan Kongsi Prestasi Rasmi bagi empat kejohanan utama peringkat negara dan kelab anjuran AFF yang dikenali secara kolektif sebagai ASEAN United FC.
Sempena ulang tahun ke-30, Piala Hyundai™ akan menghimpunkan 11 pasukan kebangsaan bagi merebut gelaran Raja Bola Sepak ASEAN, yang dipertandingkan secara dwitahunan. Vietnam muncul juara bertahan selepas menewaskan Thailand dengan agregat 5-3 pada aksi final edisi 2024.
Direka dan dihasilkan oleh adidas, Bola Perlawanan Rasmi Hyundai Cup™ 2026 yang mendapat pengiktirafan FIFA Quality Pro menjadi simbol kepada sejarah gemilang serta legasi kejohanan ini sepanjang tiga dekad. Bola ini menampilkan teknologi inovatif adidas dengan rekaan panel berinspirasikan Teamgeist, digabungkan dengan grafik berwarna biru navy dan oren yang mencerminkan identiti serta kemeriahan ASEAN United FC dan kejohanan.
Bola bersaiz lima ini mempunyai berat antara 430 hingga 440 gram, serta memaparkan logo Piala Hyundai™ 2026 dan ASEAN United FC pada permukaan bertekstur ikonik ‘Triangle’ milik adidas, sekali gus memberikan sentuhan estetik yang tersendiri.
Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN, Mejar Jeneral Khiev Sameth, berkata:
“Hari ini, kami bukan sekadar memperkenalkan sebuah bola perlawanan. Bersama Rakan Prestasi Rasmi kami, adidas, ia merupakan simbol kepada tiga dekad aspirasi, persaingan dan semangat kebersamaan bola sepak di rantau Asia Tenggara.
Ketika kami meraikan perjalanan 30 tahun kejohanan utama rantau ini, Bola Perlawanan Rasmi Piala Hyundai™ 2026 ini mencerminkan tenaga penyokong serta denyut nadi bola sepak ASEAN yang penuh warna.
Dengan rekaan revolusioner dan inovasi tanpa kompromi adidas, bola ini dihasilkan mengikut piawaian profesional tertinggi, menyerikan lagi berprestij ini. Lebih penting, ia dicipta untuk para pemain dan pasukan kebangsaan yang akan menghidupkannya di atas padang, menguji kemampuan, menzahirkan bakat dan mengejar kecemerlangan dalam setiap perlawanan.”
Pengarah Jenama Kanan adidas Asia Tenggara, Fanny Lanctot, berkata:
“Piala ASEAN Hyundai™ kini memasuki ulang tahun ke-30, dan bagi meraikan detik bersejarah ini, kami melancarkan Bola Perlawanan Rasmi yang mencerminkan kedudukan antarabangsa kejohanan berprestij ini.
Lebih daripada sekadar elemen permainan, bola ini melambangkan komitmen berterusan adidas terhadap pembangunan bola sepak di ASEAN. Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan dalam menjadikan bola sepak lebih mudah diakses dan inklusif buat atlet serta peminat di seluruh rantau.”
Presiden dan Pengerusi Lembaga Pengarah SPORTFIVE Asia, Seamus O’Brien, berkata:
“Piala Hyundai™ adalah simbol kebanggaan dan aspirasi setiap pasukan kebangsaan, pemain serta penyokong di ASEAN.
Bola Perlawanan Rasmi adidas bagi Piala Hyundai™ 2026 bukan sahaja memenuhi standard dunia serta teknologi canggih yang sinonim dengan jenama ini, malah melambangkan warisan kejohanan, aspirasi kolektif rantau ini dan detik-detik bersejarah yang bakal tercipta pada edisi ke-16, Julai dan Ogos nanti.”
Sebagai Rakan Prestasi Rasmi, adidas membekalkan bola perlawanan, pakaian pengadil serta kit pengiring bola bagi keempat-empat kejohanan ASEAN United FC, iaitu Piala ASEAN Hyundai™, Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee™, Piala ASEAN MSIG Serenity Wanita™ dan Kejuaraan ASEAN U-23. Bola Perlawanan Rasmi Piala Hyundai™ 2026 dijangka mula dijual di pasaran bermula Mei.
Piala ASEAN Hyundai™ 2026 merupakan edisi ke-16 kejohanan dan akan berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos. Pada majlis undian rasmi yang diadakan minggu lalu, juara bertahan Vietnam diundi dalam Kumpulan A bersama Singapura, Indonesia, Kemboja serta pemenang Pusingan Kelayakan Play-Off.
Dalam Kumpulan B, naib juara 2024 dan juara tujuh kali, Thailand, akan berdepan Malaysia, Filipina, Myanmar dan Laos.
Brunei Darussalam dan Timor-Leste akan bertemu dalam aksi Play-Off Kelayakan secara timbal balik bagi merebut satu slot ke peringkat kumpulan. Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah perlawanan pertama pada 2 Jun, manakala perlawanan timbal balik dijadualkan berlangsung di Timor-Leste pada 9 Jun.
Jadual perlawanan Piala Hyundai™ 2026 tersedia di ASEANUtdFC.com dan @aseanutdfc, saluran digital rasmi untuk acara ASEAN United FC, menyediakan akses sepanjang tahun kepada berita, maklumat dan kandungan eksklusif.






























