Seramai 1,560 anggota keselamatan ditugaskan bagi memastikan kelancaran perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tahap keselamatan kali ini ditingkatkan berbanding 1,200 anggota ketika aksi perlawanan final Piala FA, 27 Julai lalu.

Perkara itu diumumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim pada sidang media mesyuarat keselamatan perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, penambahan itu diambil bagi memastikan kawalan keselamatan yang lebih efisien dan sempurna kepada semua penonton yang akan hadir pada perlawanan akhir, 2 November ini.

“Bilangan anggota keselamatan ada penambahan yang banyak daripada Piala FA, iaitu hampir 1,600 anggota termasuk anggota trafik yang akan membantu daripada segi kawalan lalu lintas.

“Tujuan penambahan anggota yang banyak ini ialah kita mahu mengelakkan insiden yang tidak diingini seperti mana terjadi di Indonesia baru-baru ini dan tempat-tempat lain.

“Penekanan diberikan di bahagian luar stadium selain di tempat pengangkutan awam dan di dalam stadium malah kami akan dibantu marshal daripada MFL (Malaysian Football League ) seramai 300 orang, “ katanya.

Daripada 1560 anggota polis yang akan bertugas pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2019, 1350 daripadanya ialah anggota keselamatan manakala 210 adalah anggota trafik.

Penugasan polis melibatkan kawalan lalu lintas akan bermula 2.30 petang pada hari perlawanan sementara kawalan keselamatan, bermula jam 3.00 petang.

Penonton-penonton diingatkan jangan membawa bahan terlarang ke dalam stadium seperti mercun,bunga api, laser, suar, topi keledar, mancis, pemetik api, sebarang objek tajam, minuman keras, payung, tongkat dan botol.

Tambah Mazlan, hanya sebanyak 3394 lot parkir akan disediakan dan selepas lot parkir-parkir penuh, pihak polis akan membuat penutupan dan lencongan jalan.

“Parkir A,B, D dan E dibuka untuk kenderaan awam manakala Parkir C untuk kenderaan berpelekat serta urusetia. Bagi bas-bas penyokong Kedah, mereka boleh ke Parkir F sementara bas penyokong JDT di TPM (Techology Park Malaysia).

“Jadi pihak polis nasihatkan sepanjang perlawanan nanti, orang ramai boleh gunakan pengangkutan awam ke stadium serta elakkan melalui jalan-jalan sekitar Bukit Jalil bagi kelancaran lalu lintas.

“Tindakan saman dan tunda akan diambil kepada mana-mana kenderaan yang menghalang lalu lintas dan sila patuhi arahan daripada anggota polis yang bertugas, ” katanya.

- Advertisement -