Walaupun tanpa kehadiran pemain senior dan junior kebangsaan, skuad Perak tampil dengan keyakinan untuk menyerlah dan mempertahankan kejuaraan Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abdul Razak ke-59 yang akan membuka tirai di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.

Ketua jurulatih, Abdul Sukur Adam mengakui ketiadaan lima pemain senior dan dua pemain remaja kebangsaan nyata memberi kesan terhadap kekuatan Perak. Bagaimanapun, beliau yakin barisan pemain pelapis dari skuad SUKMA negeri itu mampu menggalas tanggungjawab besar mempertahan kejuaraan yang dimenangi tahun lepas.

Perak menjuarai edisi tahun 2020 selepas menundukkan Terengganu 4-2 pada perlawanan akhir. Ia merupakan kejuaraan kali ke-10 buat Perak.

Sambil menyifatkan saingan lebih terbuka tahun ini kerana majoriti pasukan negeri yang dibarisi pemain muda, Abdul Sukur yang menggalas tugas kejurulatihan menggantikan Roslan Jamaluddin musim ini, tetap menghormati kemampuan pasukan lain.

“Ya, ketiadaan pemain senior dan junior kebangsaan memang amat dirasakan. Namun saya yakin, pemain pelapis yang ada tentunya bersemangat tinggi untuk buktikan kemampuan masing-masing,” kata beliau.

Ketua pasukan, Shazrul Imran Nazli, senada dengan jurulatih beliau dan menyifatkan semua pasukan mempunyai peluang sama rata. “Memang ada tekanan, tetapi kami berharap dengan kombinasi beberapa pemain senior yang masih ada dengan pemain muda, kami mampu pergi jauh,” jelasnya.

Dalam pada itu, saingan Piala Tun Abdul Razak Ke-6 (Wanita) juga menampilkan kalangan pemain muda dengan juara bertahan Pahang tetap menjadi pasukan pilihan yang dijangka mampu memberikan saingan sengit hingga ke pentas akhir.

Pahang, yang muncul juara menumpaskan Selangor pada perlawanan akhir tahun lalu, bakal bertemu Negeri Sembilan pada saingan pembukaan esok.

Menurut Jurulatih Mohd Sabri Mohamad, Pahang kehilangan lima pemain senior dari skuad tahun lepas dan saingan kali ini digalas oleh barisan pemain muda daripada skuad SUKMA.

“Persiapan lancar sejak tiga minggu lepas dan dengan semangat yang tinggi terutama bagi pemain yang pertama kali beraksi dalam Piala Tun Abdul Razak ini, saya yakin kami mampu pergi jauh,” kata beliau.

Menjelang perlawanan pembukaan bagi kedua-dua saingan Lelaki dan Wanita esok (10 Nov), Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Dato’ Sri Dr Anil Jeet Singh melahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk para pegawai kejohanan KHM, Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan pelbagai pihak lain termasuk penaja di atas kerjasama menjayakan edisi tahun ini.

Walaupun masih berlangsung dalam suasana pandemik dan perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat, beliau menyuarakan rasa lega kerana edisi ke-59 Piala Tun Abdul Razak tetap dapat dianjurkan.

“Tidak seperti tahun lalu, penonton dibenarkan masuk secara percuma untuk menonton di stadium, dengan syarat telah lengkap dua dos suntikan vaksin selain mengikut SOP yang telah ditetapkan,” kata beliau yang berharap dapat menarik sehingga 60 peratus penonton kali ini.

Bagi saingan lelaki, 14 pasukan negeri yang dibahagi kepada tiga kumpulan sah bertanding manakala bagi wanita, 12 pasukan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Dato’ Sri Anil mengakui penampilan ramai pemain muda kali ini adalah sesuatu yang baik untuk pembangunan hoki dan juga skuad kebangsaan.

“Rata-rata, penampilan pemain muda dari skuad pelapis negeri adalah sesuatu yang amat baik kerana ia memberi peluang kepada panel kejurutaihan KHM untuk meninjau dan menyerap lebih ramai bakat baru untuk dipertimbang menyertai skuad kebangsaan,” kata beliau.

JADUAL PERLAWANAN (Rabu, 10 Nov)

LELAKI

Kumpulan A: Selangor mln PDRM dan Perak mln Sabah

Kumpulan B: Terengganu mln Kedah dan Perlis mln Melaka

Kumpulan C: Kelantan mln Kuala Lumpur dan Pahang mln Pulau Pinang

WANITA

Kumpulan A: Pahang mln Negeri Sembilan dan Sabah mln Melaka

Kumpulan B: Selangor mln PDRM dan Kedah mln Perak

 

• Semua perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur

- Advertisement -