sgor.spore

Oleh Muhammad Aiman

Penjaga gol, Syazwan Buhari menjadi wira buat Pilihan Singapura apabila menyelamatkan dua sepakan penalti untuk membantu pasukannya merampas semula kejuaraan Piala Sultan Selangor dengan menewaskan Pilihan Selangor di Stadium Shah Alam, pada Sabtu.

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedudukan masa sebenar berakhir 1-1, dan Syazwan menyelamatkan sepakan dari S.Subramaniam dan Razman Roslan untuk pasukannya menang penalti 4-3 sekaligus menjulang kejuaraan buat kali keenam setelah melakukannya pada 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011.

Pada perlawanan yang memasuki edisi ke-15 penganjurannya itu, Selangor mendahului di separuh masa pertama menerusi jaringan R.Gopinathan pada minit ke-15.

Meskipun berkelebihan seorang pemain setelah Shahrin Saberin dilayangkan kad merah kerana mengasari Andik Vermanshah, Pilihan Selangor bagaimanapun gagal memanfaatkan kelebihan itu sebaliknya dipaksa berputih mata apabila Stanley Ng menyamakan kedudukan pada minit ke-77. 

Dengan kemenangan ini, Pilihan Singapura membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000 yang disampaikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah manakala Pilihan Selangor kendalian Zainal Abidin Hassan menerima RM10,000.

Terdahulu dalam aksi membabitkan pasukan veteran, Veteran Selangor menewaskan Veteran Singapura 2-0, menerusi jaringan Shahrin Majid dan Dollah Salleh.

Antara nama-nama hebat bolasepak tempatan era 90-an yang membarisi veteran Selangor adalah seperti Azman Adnan, Mehmet Durakovic, Mubin Mokhtar, K.Sanbagamaran, M.Chandran, Shahril Arsat, Asmawi Bakiri, Azlisham Ibrahim dan Anuar Abu Bakar.

- Advertisement -