Arena futsal tempatan perlu memberi lebih tumpuan kepada aspek pengkomersialan dan penjenamaan bagi menjadikan ianya lebih rancak dan meriah.

Tidak dinafikan sambutan dan penerimaan penyokong terhadap futsal semakin hari semakin menggalakkan – ini dapat dilihat sewaktu berlangsungnya pusingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) bulan lalu di mana 18 pasukan lelaki dan 6 pasukan wanita mengambil bahagian.

Malah prestasi ditunjukkan pasukan kebangsaan juga semakin membuka mata ramai, bermula dari kejayaan memenangi perak di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur, muncul naib juara Kejuaraan Futsal AFF 2017 serta terbaru membuat penampilan di Kejuaraan AFC Taiwan 2018 minggu lalu.  

Begitupun, sayang sekali ia tidak berjaya untuk merubah seperkara – liputan media terhadap aksi-aksi futsal di pentas domestik. Publisiti terhadap sukan itu kekal mendatar dan hambar seolah-olah sukan ini tidak mempunyai pengikut.  

Contoh paling mudah, ketika berlangsung pusingan kelayakan LFK2018, jangankan siaran langsung, dalam berita sekalipun tiada slot mengenai pertandingan tersebut yang mencari dua pasukan untuk melengkapkan senarai 10 pasukan di kejohanan terbesar futsal tempatan.   

Situasi ini mendorong Omar Kasule, Penasihat Korporat Kuantan Rangers, kelab futsal elit dari Pahang yang juga juara Liga Futsal Brunei 2017 untuk berkongsi pandangannya.

“Untuk menjadikan futsal digilai sepertimana bolasepak memang mustahil, kerana bolasepak adalah sukan popular dan sukan nombor satu dunia namun perlu ada usaha untuk mengkomersialkannya. Liputan perlu lebih meluas dan perlawanan-perlawanan futsal perlu dibawa ke kaca TV, perlu dipasarkan untuk menarik lebih ramai pengikut atau penyokong.  

“Saya difahamkan bahawa antara kekangan terbesar bagi penganjur adalah dari segi dana, mereka beroperasi dalam bajet terhad dan sedang berusaha mencari penaja. Soalan mudah yang saya tanya, penaja mana yang berani meletakkan duit mereka jika tiada pulangan pelaburan kepada mereka?

“Futsal ada pengikutnya yang tersendiri, dan kepada mereka yang business minded, ia satu lagi cabang perniagaan kepada mereka. Mereka mahu membina imej dan jenama, jika dalam surat khabar sekalipun berita mengenai futsal susah nak keluar, apatah lagi kaca TV, maka nilai komersialnya hilang,” kata Omar.

Omar bagaimanapun berkata ini bukan bermakna Kuantan Rangers mahu menuding jari kepada sesiapa sebaliknya bersedia menjalin kerjasama untuk sama-sama membantu memberikan arena futsal satu nafas baru dan mengangkat ianya ke satu aras lebih tinggi.

“Untuk itu paling penting adalah perubahan pada struktur, tanpa struktur tidak boleh membangunkan satu pertandingan , satu liga yang bagus dan berkualiti. Liga yang berkualiti adalah asas kepada aspek pengkomersialan. Semua pihak perlu bekerjasama menjadikannya lebih baik.

“Fokus utama adalah fikirkan bagaimana setiap perlawanan boleh disiarkan dan ditonton orang ramai, live streaming adalah pilihan paling mudah. Bila sudah ada pengikut konsisten, bincang dengan syarikat-syarikat penyiaran untuk mereka membeli hak penyiaran dan siarkannya di kaca televisyen,” tambahnya.

Untuk rekod, Kuantan Rangers mencipta sejarah layak ke LFK buat kali pertama dengan mengungguli pusingan kelayakan pada bulan lalu. Mengiringi mereka adalah Selangor United – MPSJ.  OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -