Hockey-ground

Oleh Muhammad Aiman

Pulau Pinang mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Divisyen Dua Kejohanan Hoki Piala Razak 2016 setelah mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dan muncul juara Kumpulan A dengan menundukkan Selangor 2-0 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Selasa.

Kekalahan menyaksikan Selangor menamatkan aksi peringkat kumpulan di tangga ketiga dengan hanya tiga mata hasil kemenangan 8-0 pada perlawanan pertama menentang Kedah sekaligus gagal mengulangi pencapaian mara ke perlawanan akhir tahun lalu.

Turun dengan misi wajib menang, Selangor bimbingan S.Velappan gagal menterjemahkan peluang yang dicipta kepada jaringan gol sebaliknya tewas kepada jaringan pukulan sudut penalti Haiqhal Mutalib pada minit ke-11 dan pukulan penalti Jiwa Mohan pada minit ke-39.

Sementara itu, satu lagi slot separuh akhir dari Kumpulan A disambar Perlis yang merakam kemenangan bergaya 6-1 ke atas Kedah.

Meskipun memulakan kejohanan dengan kekalahan 3-7 kepada Pulau Pinang, Perlis tampil dengan aksi lebih baik selepas itu dan memulakan kebangkitan dengan menewaskan Selangor 2-1 pada perlawanan kedua. 

Menentang Kedah yang tewas dua perlawanan terdahulu, bekas penyerang kebangsaan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil muncul wira apabila menjaringkan lima gol pada minit ke-19, 23, 32, 34 dan 40 manakala satu lagi jaringan oleh Azwadi Ridzuan pada minit ke-28.

Pada perlawanan separuh akhir yang akan berlangsung Khamis, Pulau Pinang akan menentang Kelantan manakala Perlis akan berdepan ATM.

ATM dan Kelantan masing-masing mengesahkan tempat ke separuh akhir penuh dramatik hanya menerusi beza jaringan ke atas Sabah setelah kesemua tiga pasukan itu menamatkan aksi Kumpulan B dengan terikat enam mata.

ATM muncul juara Kumpulan B setelah melakar kemenangan besar 12-0 ke atas Sarawak menerusi lima jaringan Shafiq Yaakob, dua jaringan masing-masing oleh Razali Hazemidan Hanip Che Halim, serta satu gol sumbangan Faizul Shafiq, Izuan Misman dan Tajol Harastu Jamil.

Manakala Kelantan pula bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Sabah 4-1 menerusi jaringan Izharuddin Zain, Syabrie Samsuddin Faizal Daud dan Muhd Nor Firdaus Rosdi.

- Advertisement -