sarawak.perak

Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih termahal Liga Malaysia, Datuk K.Rajagobal menjadi ahli terbaru yang direkrut ke dalam ‘kumpulan ketua jurulatih yang direhatkan’ susulan prestasi buruk pasukan Sarawak dalam saingan Liga-M musim ini.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu gagal menepati sasaran awal musim yang diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) untuk memimpin Bujang Senang mencabar secara serius dalam saingan Liga Super, sebaliknya terperosok di tangga tercorot setelah hanya mencatat satu kemenangan dalam 10 perlawanan.

Presiden FAS, Datuk Sudarsono Osman berkata keputusan drastik terpaksa diambil dengan melakukan rombakan dalam barisan kejurulatihan setelah mengambil kira prestasi Sarawak yang dilihat cukup mengecewakan dan tidak menunjukkan peningkatan.

“Tugas ketua jurulatih akan dipangku oleh penolong jurulatih, David Usop, manakala Rajagobal akan kita berikan tanggungjawab lain. Saya harap David akan gunakan tempoh rehat liga yang panjang ini untuk persiapkan pasukan sebelum menentang Perak di Kuching pada 18 Mei dan di gelanggang lawan pada 21 Mei.

“Saya juga harapkan pemain akan memperbaiki prestasi dan menunjukkan peningkatan, pengurusan akan sentiasa memantau perkembangan pasukan. Saya tahu mereka boleh lakukan yang lebih baik dari ini dan diharap perubahan ini membawa keputusan positif kepada kita,” ujar Sudarsono.

Sudarsono bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut apakah tanggungjawab lain yang akan diberikan kepada Rajagobal itu.

Rajagobal dilantik sebagai ketua jurulatih Sarawak bermula musim ini sebagai menggantikan Robert Alberts, dan Sports2247 difahamkan jurulatih yang terkenal dengan tagline ‘saya kenal pemain saya’ itu adalah jurulatih tempatan yang menerima gaji termahal dalam Liga-M.

Begitupun Rajagobal tidak mengharungi musim yang diimpikan bersama Sarawak apabila terpaksa menunggu sehingga perlawanan ketujuh untuk mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Pulau Pinang yang juga satu-satunya kemenangan mereka musim ini, malah turut tersingkir seawal pusingan pertama Piala FA yang mendorong kepada desakan penyingkirannya.

Menjadikan keadaan lebih buruk, Sarawak berdepan kemungkinan terlepas tiket beraksi di Piala Malaysia andai menamatkan pusingan pertama di kedudukan tercorot – hanya 11 pasukan teratas di pusingan pertama Liga Super akan layak beraksi di Piala Malaysia kali ini.

- Advertisement -