Kejohanan Bolasepak pra musim, Piala Super Boost Sportsfix melabihkan tirainya malam tadi selepas perlawanan terakhir diantara pasukan Kelantan dan Ratchaburi Mitr Phol yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beraksi di hadapan lebih 10 ribu penyokong sendiri, Kelantan bagaimanapun ketinggalan seawal minit ke 10 apabila hantaran silang Phillip Roller disudahkan dengan tolakan mudah Kang Soo Il untuk meletakkan Ratchaburi Mitr Phol didepan 1-0.

Kelantan cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan, pemain tengah, Ahmad Sukri hampir menyamakan kedudukan namun rembatannya dinafikan penjaga gol, Kridsada Monchai di minit ke 13.

Usaha bertali arus The Red Warriors akhirnya membuahkan hasil di minit ke 20 apabila bola muntah percubaan Ahmad Sukri Abdul Hamid disudahkan Do Dong Hyun yang melepaskan rembatan dari jarak dekat untuk jaringan penyamaan.

Kealpaan pertahanan Kelantan di minit ke 36 sekali lagi dihukum Phillip Roller apabila larian derasnya dari sebelah kiri gawang The Red Warriors tidak dikawal rapi sebelum melepaskan hantaran sekaligus disudahkan dengan tenang oleh Narakorn Noomchansakul.

Tiga minit berselang, Do Dong Hyun yang juga bekas pemain import UiTM FC berpeluang untuk menyamakan kedudukan, namun rembatan hasil hantaran kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi tersasar.

Disusuli rembatan dari luar kotak penalti di minit ke 40 oleh Margaro Lima Gomis yang sekadar tepat ke dakapan Kridsada Monchai.

Penguasaan skuad kendalian Christian Ziege berterusan apabila menemui jaringam ketiga di minit ke 55 apabila Phillip Koller melepaskan rembatan dari luar kotak penalti, menewaskan Khairul Fahmi untuk kedudukan 3-1.

Kemasukkan Mohamad Nor Farhan nyata menyuntiuk semangat pemain pemain khususnya di posisi serangan Kelantan apabila lorongan kepada Bruno Lopez disudahkan dengan baik untuk skuad kendalian Sathit Bensoh merapatkan jurang kepada 2-3 di minit ke 74.

Sorakan penyokong Kelantan yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini bergema di minit ke 78 apabila serangan balas bermula dari gerakan solo Bruno yang melepaskan rembatan terbias pemain pertahanan lawan, Satsanapong Wattayuchutikul.

Peluang terhidang didepan gawang Ratcahburi tidak disia siakan pemain antarabangsa Indonesia, Ferdinand Alfred Sinaga yang tenang menolak masuk bola untuk mengikat kedudukan tiga sama.

Seminit sebelum tamat perlawanan, kesilapan Khairul Fahmi mengundang padah apabila tertampan bola percubaan pemain gantian, Sila Srikampang ke dalam gawang sendiri untuk memberikan gol keempat buat Ratchaburi Mitr Phol.

Keputusan 4-3 memihak Ratchaburi Mitr Phol kekal sekaligus memberikan kemenangan sulung buat pasukan yang berpengkalan dari Thailand itu.

Bagi Christian Ziege, kejohanan Piala Super Boost Sportsfix 2018 merupakan platform terbaik untuk pasukannya untuk persiapan pra musim selain melihat keseluruhan aspek pemain yang perlu diberi penekanan.

“Pemain pemain gementar dan banyak melakukan kesilapan kerana kami hanya berlatih bersama kira kira dua minggu.

“Banyak perkara baru yang dapat dilihat dan pemain pemain berjaya mendahului 3-1, namun kerana kepenatan, mereka terlepas dua gol,”kata Christian.

Sementara itu, Sathit Bensoh ketika sidang media selepas perlawanan, kecewa kerana gagal menghadiahkan kemenangan kepada pasukannya.

Namun, beliau tetap memuji persembahan pemain pemain yang bangkit di separuh masa kedua perlawanan selepas ketinggalan di babak pertama.

“Saya minta maaf kepada semua pihak kerana tidak mendapatkan keputusan yang baik. Tetapi pemain pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi dan kami akui mereka (Ratchaburi) bermain baik pada separuh masa pertama.

“Kami melakukan banyak kesilapan dan saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana segalanya berbeza apabila mereka bangkit dan menyamakan kedudukan,”kata Sathit.

Kelab dari indonesia, Persija Jakarta disahkan sebagai juara Piala Super Boost Sportsfix 2018 berdasarkan kelebihan jaringan selepas ketiga tiga pasukan meraih tiga mata.

Piala disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Dato Lokman Hakim Ali kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Total Sports Asia merangkap penganjur kejohanan yang mewakili pasukan Persija Jakarta.

FOTO : ASIANA.MY

- Advertisement -