Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) amat teruja dengan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membantu menyumbang kepakaran dalam bidang pendigitalan kepada persatuan-persatuan sukan seluruh negara melalui Bantuan Prihatin Sukan yang diperuntukkan kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican ketika merasmikan majlis Anugerah SAM-100 Plus 2019 semalam mempelawa SAM untuk turut serta membantu persatuan-persatuan sukan yang diberikan peruntukan RM30,000 bagi meningkatkan maklumat menerusi platform digital masing-masing.

Presiden SAM, Dato’ Jasni Shafie menyifatkan peluang yang diberikan oleh KBS itu amat bermakna kepada pengamal media sukan yang sememangnya mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam bidang berkenaan.

“Kita boleh menawarkannya kepada ahli SAM, sebahagiannya adalah `free-lancer’ atau yang menganggur sekarang, untuk menyumbangkan pengetahuan dan kepakaran mereka bagi membantu persatuan-persatuan sukan.

“Secara tidak langsung, ia mungkin boleh memberikan mereka pendapatan sampingan terutama kepada mereka yang tidak mempunyai kerja tetap pada masa ini,’’ katanya menerusi kenyataan media hari ini.

KBS memperuntukkan kira-kira 10 juta ringgit kepada persatuan-persatuan sukan di seluruh negara untuk mereka meningkatkan maklumat serta info mengenai aktiviti mereka melalui platform digital seperti laman web dan media sosial.

SAM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan yang telah mengumumkan bantuan kewangan berjumlah RM100,000.00 dan RM50,000.00 subsidi untuk membiayai sewa ruang pejabat SAM bagi tempoh dua tahun di tempat pilihan yang bersesuaian.

“Kami amat berterima kasih atas perhatian KBS, khususnya Dato’ Sri Reezal terhadap persatuan ini yang turut bersama-sama membantu kemajuan sukan negara melalui laporan dan ulasan di media,’’ kata Dato’ Jasni.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan ketika berucap di majlis Anugerah SAM – 100PLUS 2019 yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara semalam.

“Bantuan yang diumumkan oleh Dato’ Sri Reezal ini amat dihargai oleh warga SAM dan kami akan berusaha untuk memastikan organisasi ini terus cemerlang dalam memartabatkan arena sukan bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia,” kata Dato’ Jasni.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang diterajui Presiden, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang bersetuju untuk menjadikan Dewan ABM sebagai venue penganjuran Anugerah SAM-100PLUS 2019 semalam.

“Kita sedia maklum BAM padat dengan jadual harian terutama ketika menerima kembali pemain pemain dan kejurulatihan semua peringkat umur untuk menjalani sesi latihan di ABM dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat susulan Covid 19, tetapi Tan Sri Norza dan pengurusan tetap menyantuni dan memberi kebenaran kepada SAM untuk menganjurkan majlis anugerah di tempat mereka,” katanya lagi.

SAM turut menjunjung kasih kepada Penaung Diraja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diatas perkenan baginda untuk menyampaikan titah di majlis semalam melalui rakaman video.

- Advertisement -