hockey.6

Oleh Muhammad Aiman

Selepas melakar kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Sapura ā€“ antara pasukan dilabel pilihan musim ini mahu meneruskan rentak kemenangan apabila melayani cabaran getir juara Piala Sumbangsih, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam aksi kedua Liga Premier TNB-Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Pantai hari ini.

“Memang kemenangan pertama amat penting kerana ia memberi suntikan semangat kepada setiap pemain. Saya harap selepas ini pemain dapat mengekalkan prestasi dengan baik untuk memastikan kami dapat meraih sebanyak mungkin mata dalam saingan liga,” katanya,ā€ kata jurulatih Sapura, Yahya Atan.

Jumaat lalu, jaringan Faridzul Afiq, Izad Hakimi Jamaludin dan Azrul Hasbullah membolehkan Sapura membuka kempen musim baru TNB-MHL dengan langkah kanan.

Namun KLHC pastinya tidak bersedia memberi laluan mudah apatah lagi mereka juga mengidam untuk meneruskan momentum dan mencatat kemenangan kedua selepas memenangi Piala Sumbangsih buat kali ketiga berturut-turut dengan menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 2-1.

“Harap kemenangan pertama itu dapat mengurangkan tekanan setiap pemain apabila bertemu Sapura. Sudah tentu kami juga melihat Sapura antara pencabar utama pada tahun ini,” kata jurulatih KLHC, Muhammad Harun Al-Rashid Samri.

Sementara itu, ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj pula mahu barisan pemainnya tampil dengan permainan lebih bertenaga dan menebus kecewa tewas kepada Sapura dengan menjadikan TNB mangsa kebangkitan apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Hoki Pantai.

“Selepas berakhir perlawanan pertama, saya lihat sentuhan penyudah antara perkara utama yang perlu diperbaiki. Saya yakin barisan pemain akan bangkit pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Untuk rekod, TNB juga mencari kemenangan sulung setelah tunduk 3-4 kepada Maybank dalam perlawanan pertama tempoh hari.

Jadual aksi TNB Liga Hoki Malaysia

Liga Premier (21 Ogos 2016)

KLHC lwn Sapura, 6 ptg
(Stadium Hoki Pantai)

THT lwn Maybank, 5.30 ptg
(Stadium Hoki Batu Buruk)

UniKL lwn TNB, 8 mlm
(Stadium Hoki Pantai)

- Advertisement -