Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) menyasarkan sasaran dua pingat emas untuk Sukan SEA 2023 bulan depan di Phnom Penh, Kemboja.
Presiden PESAKA Datuk Megat Zulkarnain Omardin menjelaskan bahawa sasaran sederhana ditetapkan memandangkan lebih separuh daripada pesilat yang mengambil bahagian adalah muka baharu.
“Saya lebih terbuka kepada fakta bahawa semua atlet mempunyai peluang untuk menyumbang pingat, kerana saya tidak mahu atlet muda terbeban, jika kita ada Mohd Al-Jufferi Jamari sudah pasti dia mesti membawa pulang pingat emas.
“Saya tidak mahu memberi tekanan kepada atlet muda tetapi saya percaya mereka mampu, apa lagi pasukan kita sekarang diuruskan oleh bekas pelapis silat negara (Mohd Fauzi Khalid dan Siti Rahmah Mohamed Nasir),” katanya.
Pasukan silat negara dijangka bersaing dalam 17 daripada 22 acara yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Chroy Changvar.